LHDN beku akaun Hamzah, keluarga?

Hamzah
Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Akaun milik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan ahli keluarga terdekatnya didakwa telah dibekukan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut sumber, pihaknya tidak merasakan ia bukan sesuatu yang mengejutkan langsung dan pernah dilaporkan sebelum ini.

“Ini bukan sesuatu yang mengejutkan dan memang Hamzah menjadi sasaran politik,” kata sumber tersebut ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam pada itu, Hamzah tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan pengesahan berhubung perkara tersebut.

Pada Jun lalu, media melaporkan, kediaman Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu diserbu pegawai LHDN susulan dakwaan terdapat beberapa cukai tidak dilaporkan.

Sebelum itu, beliau turut dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung satu kes pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Larut itu mendakwa, kes pertuduhan di mahkamah membabitkan seorang ahli perniagaan itu yang turut mengheret namanya, jelas bertujuan untuk merosakkan nama baiknya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN.

Pada 11 Ogos lalu, Hamzah dilapor mengeluarkan surat tuntutan kepada kerajaan sebagai menjawab dakwaan mengaitkan beliau dengan kes rasuah.

Artikel Berkaitan:

Beliau menghantar surat yang sama kepada SPRM dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Dalam surat itu, Hamzah menuntut supaya dihentikan segala bentuk tindakan terhadap satu pihak, yang merujuk ahli perniagaan terbabit.

Beliau berkata, ia dilakukan susulan satu laporan polis dibuat ahli perniagaan berkenaan, Datuk Seri Sim Choo Thiam pada 12 Jun lalu, yang didapatinya mengandungi kecenderungan terhadap satu bentuk salah guna kuasa oleh agensi tertentu.

Mengikut empat pertuduhan rasuah yang berlangsung pada Mei lalu, ahli perniagaan berusia 63 tahun itu dituduh melakukan kesalahan itu antara Jun dan 30 Julai 2021, sebagai dorongan untuk Hamzah, yang ketika itu Menteri Dalam Negeri ketika pentadbiran PN, untuk membantu Asia Coding Centre Sdn Bhd mendapatkan sebarang projek daripada agensi di bawah kementerian berkenaan.