Memimpin dengan nurani

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

SAYA masih ingat pesan arwah bapa saya bahawa jawatan, pangkat dan kedudukan dalam masyarakat bukan satu benda untuk kita meminta-minta daripada orang lain.

Kita hanya perlu ikhlas berkhidmat untuk membantu orang di sekeliling kita. Sekiranya kita ikhlas, rajin dan bijak serta menunjukkan ketokohan, maka sudah tentu orang di sekeliling kita akan dapat menilai ketokohan dan kewibawaan kita serta akan mengangkat kita untuk memimpin.

Peristiwa ini berlaku tatkala beberapa orang pemuda di kampung saya yang datang ke rumah kami melobi bapa saya yang menjadi ketua di situ untuk menyokong pencalonan mereka.

Arwah bapa saya membayangkan tindakan melobi itu sama seperti orang yang meminta-minta untuk mereka ini dilantik kepada sesuatu jawatan, sedangkan belum tentu mereka mempunyai ketokohan mahupun kewibawaan memikul tanggungjawab dan amanah daripada rakyat.

Saya juga masih ingat peristiwa di mana ada ramai orang kampung yang datang ke rumah kami untuk meminta beliau menjadi ketua mereka.

Beliau hanya menerima pelantikan itu kerana permintaan ramai. Namun, apabila beliau mula sedar ada orang lain mula menabur janji dan wang ringgit untuk merebut jawatan sama, beliau dengan rela hati melepaskan jawatan.

Kata arwah bapa saya, penyakit paling berbahaya dalam masyarakat apabila ada orang yang tergila-gilakan pangkat dan kedudukan, dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai hasrat mereka tanpa memikirkan khidmat dan tanggungjawab kepada rakyat.

Soal sama ada mereka layak atau berkemampuan memimpin dan membantu rakyat menjadi soal kedua. Bagi mereka, yang penting adalah mengejar kedudukan dan habuan yang menunggu.

Artikel Berkaitan:

Semasa arwah bapa saya menjadi ketua di kampung, saya melihat bagaimana arwah bapa saya memimpin dengan hati nuraninya.

Beliau mengenali hampir semua penduduk dan ahli keluarga mereka. Arwah bapa saya mempunyai pangkalan data dalam kepalanya bagi setiap isi rumah dalam kampung kami.

Apabila banjir melanda, beliau dengan tangkas akan menghubungi semua pihak dan agensi berwajib untuk memberi bantuan. Beliau akan mengetuai misi bantuan dengan menaiki bot polis yang akan singgah di rumah kami kerana pihak polis tahu beliau mempunyai maklumat tentang siapa tinggal di mana dan siapa memerlukan bantuan.

Beliau tahu berapa ramai orang miskin, orang tua dan kanak-kanak dalam kampung kami.

Seingat saya, arwah bapa saya mempunyai sebuah peta kampung kami. Beliau membuat pemetaan itu dengan melukis lokasi rumah-rumah dengan nombor rumah serta maklumat mengenai isi rumah.

Saya tidak pasti berapa ramai pemimpin setempat atau wakil rakyat hari ini yang mempunyai peta seperti itu.

Saya juga tidak pasti berapa ramai pemimpin hari ini yang bersusah payah mengambil tahu di bawah kawasan mereka berapa ramai orang susah, berapa ramai orang sedang menderita, berapa ramai belum mendapat vaksin, berapa ramai yang telah berjangkit Covid-19 dan berapa ramai yang telah mati.

Hari ini yang kita dengar adalah bagaimana begitu ramai orang melobi-lobi dan meminta-minta untuk mereka dipilih dan apabila dipilih, ramai gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka. Lebih menyedihkan apabila dalam usaha melobi itu, mereka menabur habuan, janji dan wang ringgit.

Mereka sanggup membeli kedudukan, pangkat dan jawatan hanya untuk kepentingan peribadi. Lebih parah apabila ada yang melompat mengikut kehendak hati mereka dan membelakangkan hasrat serta harapan yang rakyat berikan.

Saya tahu ada ramai wakil rakyat yang prihatin masalah rakyat di akar umbi tetapi sebab nila setitik boleh merosakkan susu sebelanga. Saya tidak berniat membuat generalisasi kepada semua.

Cuma ketika rakyat kesusahan, ramai kehilangan punca pendapatan, ramai kehilangan ahli keluarga, ramai ditimpa kemurungan dan ada ramai juga yang mengambil jalan pintas untuk menamatkan riwayat hidup kerana tidak mampu lagi menghadapi kehidupan, tidak bolehkah seorang pemimpin itu membatalkan niat untuk berseronok tak kira di dalam atau di luar negara.

Kalau nak berseronok pun tidak perlulah untuk ditayangkan di media sosial masing-masing.

Di mana hati nurani kalian? Tidak terasakah sedikit pun akan penderitaan rakyat ini?

Moga negara kita akan dikurniakan lebih ramai pemimpin yang mempunyai empati dan yang akan memimpin dengan nurani.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM