Menuju fasa baharu kepimpinan nasional

POLITIK Malaysia sedang bergerak dalam satu fasa peralihan yang semakin ketara.
Perubahan demografi pengundi, landskap Parlimen yang lebih dinamik serta tuntutan rakyat terhadap tadbir urus yang lebih berkesan mewujudkan keperluan kepada model kepimpinan yang berbeza daripada dekad-dekad lalu.
Dalam konteks ini, pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai antara petunjuk kemunculan generasi kepimpinan pertengahan di pentas nasional.
Berada dalam lingkungan usia 56 tahun, Dr Sam mewakili kelompok pemimpin yang berada di titik keseimbangan antara pengalaman dan tenaga pembaharuan.
Namun sebelum kita berbicara tentang teknokrasi, profesionalisme dan model kepimpinan baharu, ada satu sisi kehidupan beliau yang jarang disentuh dalam analisis politik iaitu sebuah bab getir yang membentuk dimensi kepimpinan beliau hari ini.
Ramai mengenali beliau sebagai Menteri Besar Terengganu. Ramai juga mengetahui beliau seorang jurutera dan pemegang PhD dalam bidang aeroangkasa.
Tidak ramai yang mengetahui bahawa beliau pernah diuji dengan kanser tahap 3 yang hampir memasuki tahap 4.
Semasa proses kesembuhan, Dr Sam melalui tujuh kali kemoterapi dan 35 kali sesi radioterapi. Dalam tempoh hampir setahun, beliau hanya mampu hidup dengan minum susu dan tidak dapat menikmati makanan seperti biasa.
Pada saat kehidupan berada di ambang ketidakpastian, beliau memilih untuk berhadapan dengan ujian itu dalam keadaan tenang.
Daripada pengalaman tersebut, beliau sering berkongsi tiga prinsip yang menjadi pegangan.
Pertama, ketenangan. Panik adalah musuh pertama penyembuhan. Dalam krisis, kestabilan emosi menjadi asas kepada keputusan yang rasional.
Kedua, disiplin. Walaupun rawatan menyakitkan dan melelahkan, kepatuhan kepada proses adalah kunci untuk bertahan dan pulih.
Ketiga, tawakal dan keyakinan kepada rahmat Allah. Ujian tidak dilihat sebagai hukuman, tetapi sebagai ruang pembentukan jiwa.
Pengalaman hampir kehilangan nyawa itu bukan sekadar kisah peribadi, tetapi membentuk falsafah kepimpinan. Mereka yang pernah melalui ujian getir lazimnya memandang kuasa dengan perspektif berbeza, iaitu perspektif amanah.
Mungkin di sinilah terletaknya perbezaan gaya politik beliau hari ini. Pendekatan yang tidak terlalu konfrontatif, tidak bergantung kepada jeritan atau polemik, sebaliknya lebih berfokus kepada kerja dan kestabilan.
Jika beliau pernah melawan 'kanser' dalam tubuh dengan ketenangan dan disiplin, tidak mustahil pendekatan yang sama digunakan dalam berhadapan dengan “barah” politik dan sosial.
Perbandingan sering dibuat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang telah lama menjadi tokoh utama politik negara. Namun perbezaan antara kedua-duanya bukan sekadar soal usia, tetapi pendekatan dan latar pembentukan kepimpinan.
Dr Sam hadir dengan latar belakang sebagai jurutera aeroangkasa dan bekas ahli akademik. Disiplin kejuruteraan lazimnya menekankan pemikiran sistemik, analisis risiko serta penyelesaian masalah secara berstruktur.
Dalam konteks pentadbiran moden yang semakin kompleks, pendekatan berasaskan fakta dan integrasi sistem menjadi semakin relevan.
Sejarah Malaysia menunjukkan bahawa latar profesional mampu mempengaruhi gaya kepimpinan nasional. Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berlatar belakang perubatan, dilantik sebagai Perdana Menteri pada usia 56 tahun.
Era tersebut sering dikaitkan dengan pendekatan pembangunan yang mampan, berorientasikan sistem dan berpandangan jauh.
Walaupun bidang perubatan dan kejuruteraan berbeza, kedua-duanya berkongsi asas pemikiran analitis serta disiplin profesional yang kuat. Sebaliknya, Anwar Ibrahim yang mempunyai latar belakang sastera lebih sinonim dengan kekuatan retorik dan pembinaan naratif politik.
Pendekatan tersebut penting dalam mobilisasi dan konsensus, namun dinamika semasa turut menuntut ketepatan pelaksanaan dan pengurusan yang sistematik.
Malaysia hari ini bukan sahaja memerlukan wacana, tetapi juga pelaksanaan yang konsisten dan boleh diukur. Rakyat semakin menilai kepimpinan melalui hasil termasuk kestabilan dasar, kejelasan hala tuju serta keupayaan menyelesaikan isu secara praktikal.
Perubahan struktur pengundi turut mempercepatkan tuntutan tersebut. Dengan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik, segmen pengundi muda kini menjadi komponen penting dalam demokrasi negara.
Generasi ini lebih terdedah kepada teknologi, lebih kritikal dalam menilai dasar dan cenderung menuntut kecekapan serta integriti dalam kepimpinan.
Walaupun persepsi bahawa pengundi muda mahukan pemimpin baharu yang lebih muda, namun terdapat keperluan untuk melaksanakan kajian empirikal yang menyeluruh untuk menilai persepsi ini.
Secara asasnya, realiti demografi tetap menunjukkan bahawa politik Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada formula lama.
Kepimpinan generasi pertengahan seperti Dr Sam mencipta kemungkinan kepimpinan negara ke arah teknokrat dan profesional yang lebih tersusun dan kurang berasaskan konfrontasi.
Rekod pentadbiran beliau di Terengganu sejak 2018 sering dilihat stabil dan berdisiplin. Walaupun skala negeri berbeza dengan peringkat persekutuan, pengalaman tersebut menyediakan asas pengurusan yang penting.
Sekiranya fasa seterusnya melibatkan peranan lebih besar di peringkat nasional, ujian sebenar terletak pada kemampuan memperluas pendekatan tersebut ke dalam kerangka pentadbiran negara yang lebih kompleks.
Politik Malaysia kini berada di persimpangan antara kesinambungan kepimpinan veteran dan kemunculan generasi baharu yang lebih berorientasikan teknokrat dan profesionalisme.
Dalam demokrasi yang semakin matang, legitimasi tidak lagi semata-mata bergantung pada sejarah perjuangan atau kekuatan retorik, tetapi pada prestasi dan keupayaan membina keyakinan jangka panjang.
Menuju fasa baharu kepimpinan nasional memerlukan keberanian untuk menerima perubahan generasi serta kesediaan menilai pemimpin berdasarkan kompetensi dan hasil.
Dalam kerangka tersebut, kemunculan Dr Sam memberi isyarat bahawa politik Malaysia sedang bergerak ke arah model kepimpinan yang lebih berstruktur dan berorientasikan penyelesaian.
Sama ada fasa baharu ini akan menjadi realiti bergantung kepada mandat rakyat. Namun satu perkara semakin jelas adalah landskap politik negara sedang berubah, dan generasi muda dan pertengahan kini bersedia memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan masa depan negara ke arah Malaysia yang lebih sejahtera.
*Prof Ir Dr Hairul Azhar Abdul Rashid ialah Rektor di University College TATI
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
