Kekurangan bekalan gula di Pantai Timur bukan satu krisis

Salahuddin - Foto Bernama
Salahuddin - Foto Bernama
A
A
A
GEORGE TOWN - Masalah kekurangan bekalan gula yang berlaku di Kelantan dan Terengganu disebabkan oleh cuti panjang pekerja syarikat pengilang dan pusat pengedaran, bukannya satu krisis yang berpunca daripada kekurangan bahan makanan itu di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, selepas penguatkuasaan operasi bersepadu Op Manis, isu berkenaan semakin pulih dan pemborong utama di kedua-dua negeri telah menerima bekalan daripada pengilang secara berperingkat untuk diedarkan kepada pemborong dan peruncit di seluruh kawasan.

''Secara purata penggunaan gula untuk seminggu bagi negeri di Pantai Timur ialah 400 tan metrik untuk tempoh seminggu.

''Kita juga telah menambah bekalan gula sebanyak 36 peratus iaitu berjumlah 614.12 tan metrik bagi tempoh empat hari untuk menampung bekalan, jadi orang ramai jangan buat pembelian panik kerana bekalan mencukupi,'' katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Rumah Terbuka Rahmah Aidilfitri anjuran Parti Amanah di Teluk Kumbar, di sini pada Ahad.

Salahuddin berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Op Manis bermula 3 hingga 6 Mei lepas bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan gula di Pantai Timur sejak musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.



Hasil daripada operasi berkenaan, pihaknya juga mendapati aduan yang diterima semakin berkurangan dan tiada kes diambil ke atas peniaga kerana tiada kesalahan sorok, enggan menjual barang kawalan atau lain-lain kesalahan ditemukan.

''Sehingga 6 Mei lepas, sebanyak 132 pemeriksaan telah dilaksanakan di Kelantan dan 224 pemeriksaan telah dilaksanakan di negeri Terengganu,'' katanya.

Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata, pihak kerajaan akan meneruskan Inisiatif Payung Rahmah dengan mengumumkan Skim Insurans Rahmah untuk kenderaan dan kediaman dalam tempoh dua minggu lagi.

Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa perkara termasuk premium yang akan ditawarkan kepada pengguna.

"Peringkat awal Skim Insurans Rahmah ini akan melibatkan perlindungan kepada kenderaan terpakai yang mempunyai kerosakan enjin atau gearbox serta perlindungan bagi kediaman yang sering dilanda bencana banjir," katanya. - Bernama