Malaysia dihormati negara Arab kerana sokong perjuangan Palestin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia amat dihormati oleh negara-negara Arab termasuk Kuwait kerana pendiriannya yang teguh dan sokongannya yang tidak berbelah bahagi sejak sekian lama terhadap perjuangan Palestin.

Duta Kuwait ke Malaysia, Saad Abdullah Al-Sousi, berkata Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad begitu tegas dan sering mengetengahkan isu Palestin di pelbagai forum antarabangsa, terutama apabila beliau mendedikasikan sebahagian besar ucapannya untuk perjuangan Palestin semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 pada September tahun lepas.

Penghargaan yang mendalam telah dizahirkan dalam sepucuk surat yang ditulis dan dihantar baru-baru ini kepada Dr Mahathir oleh Al-Sousi bagi pihak semua dua negara Arab di Malaysia, dikenali sebagai Kor Diplomatik Arab.

“Kami, sebagai duta-duta Arab, telah menghantar mesej sokongan yang kuat kepada Tun Mahathir kerana mengekalkan pendirian teguh beliau yang pro-Palestin, termasuk melarang dua atlet Israel memasuki Malaysia sehingga menyebabkan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa melucutkan hak Malaysia untuk menjadi tuan rumah kejohanan itu,” kata beliau.

Al-Sousi berkata demikian kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama dalam satu temu bual di pejabat beliau di sini baru-baru ini sempena Hari Kebangsaan ke-58 Kuwait dan Hari Pembebasan ke-28 negara itu yang disambut pada 25 dan 26 Februari.

Al-Sousi adalah Dekan Kor Diplomatik Arab yang mewakili 16 negara, antaranya Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Mesir, Maghribi dan Palestin.

Pada masa sama, beliau mengulangi sokongan berterusan dan tidak berbelah bahagi Kuwait terhadap perjuangan Palestin, sekali gus menyangkal laporan berita antarabangsa minggu lepas yang mempersoal kedudukan prinsipnya berhubung isu Palestin.

Beliau menjawab soalan Bernama berkaitan dakwaan membabitkan gambar berkumpulan pada persidangan antarabangsa di Warsaw, Poland yang berlangsung dari 13 hingga 14 Feb, yang menampilkan wakil 60 negara termasuk Arab dan Israel.

Artikel Berkaitan:

Wakil Arab pada persidangan itu dituduh berusaha mewujudkan atau memperkukuh hubungan dengan Tel Aviv serta dilabel sebagai “penyokong normalisasi hubungan dengan Zionis,” berdasarkan gambar berkumpulan yang menyaksikan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu turut hadir.

“Timbalan Menteri Luar kami (Khaled Al-Jarallah) telah menegaskan bahawa pendirian Kuwait yang menolak normalisasi hubungan dengan Israel adalah jelas dan utuh. Kuwait pastinya akan menjadi negara terakhir untuk menormalkan hubungan dengan Israel.

“Kami ingin menegaskan bahawa Kuwait akan terus menyokong perjuangan Palestin, isu utama bagi orang Arab dan umat Islam, dan kami percaya pasti ada penyelesaian kepada isu ini,” katanya sambil menambah bahawa pendirian Kuwait amat dihargai rakyat Palestin.

Anjuran bersama Poland dan Jabatan Negara AS, persidangan yang diberi tajuk rasmi “Ministerial to Promote a Future of Peace and Security in the Middle East” itu adalah bertujuan menangani isu keamanan dan keselamatan yang sering dilanda keganasan di Timur Tengah.

Persidangan itu serupa dengan pelbagai perhimpunan antarabangsa lain yang menyaksikan Israel mengambil bahagian, termasuk forum yang diadakan di bawah payung PBB. - Bernama