Budak tujuh tahun derita kanser otak tahap empat

Harris kini tidak boleh berjalan dan berkata-kata setelah menghidap kanser otak tahap empat
Harris kini tidak boleh berjalan dan berkata-kata setelah menghidap kanser otak tahap empat
A
A
A

KUALA KANGSAR - Hidup seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang tinggal di Kampung Pulai, Ketior Luar di sini berubah selepas terjatuh basikal tahun lalu sebelum disahkan menderita kanser otak tahap empat.

Murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz, Muhammad Harris Irfan Ismail mula dikesan menghidap penyakit itu sejak Januari lalu selepas langkah kakinya tidak stabil selain mengalami muntah dan pening.

Ibunya, Siti Hadijah Mokhtar, 28, berkata, bimbang dengan keadaan anaknya itu, dia membawa Harris melakukan pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Kangsar sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan lanjut.

"Harris telah menjalani pembedahan pertama selepas terdapat darah beku selain buang cecair di bahagian kepala pada 27 Mei lalu.

"Namun, dia sekali lagi menjalani pembedahan kedua pada 27 Jun untuk membuang ketumbuhan sekaligus menjalani kemoterapi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Menurutnya, dia kadangkala berulang alik dari rumahnya ke Ipoh untuk menjaga Harris yang kini turut mengalami jantung bengkak.

Katanya, dugaan yang dihadapi keluarganya amat berat apabila turut membesarkan dua anak berusia tiga dan 11 tahun, manakala suaminya, Muszafar Ahmad Nawayai, 35, tidak lagi bekerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Artikel Berkaitan:

Keadaan Harris (kanan) sebelum disahkan menghidap kanser otak.
Keadaan Harris (kanan) sebelum disahkan menghidap kanser otak.

"Kos pembedahan tidak membebankan apabila pihak hospital banyak membantu, tetapi bebanan akan terasa bila Harris dibawa pulang ke rumah kerana dia memerlukan susu dan menyewa mesin sedut kahak.

"Harris kini tidak boleh berjalan dan bercakap. Kerusi roda penting untuknya dan kami cuba untuk dapatkan bantuan. Keperluan seperti lampin dan susu amat diperlukan kini, " katanya.

Siti Hadijah berkata, keluarganya kini bergantung kepada bantuan bakul makanan yang diterima untuk meneruskan kehidupan.

"Kami menumpang di rumah keluarga dan kedua ibu bapa kami pun tidak berapa sihat. Suami banyak bantu menguruskan keluarga dan menjaga dua anak kami sementara saya menjaga Harris di hospital.

"Doktor tidak memberi jaminan keadaan Harris kembali seperti sedia kala tetapi saya tahu Harris kuat setiap kali menjalani kemoterapi," katanya.

Katanya, dia akan berusaha memohon bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar dapat mengurangkan beban yang ditanggung kini.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Siti Hadijah boleh menghubunginya di talian 011-14458035.