Tidak perlu Perdana Menteri interim, Anwar calon terbaik

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Tiada keperluan bagi Yang di-Pertuan Agong untuk melantik mana-mana dalam kalangan 220 ahli Parlimen bagi menggalas jawatan Perdana Menteri interim sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang dalam masa terdekat.

Sebaliknya, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sim Tze Tzin berkeyakinan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu meraih sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk diangkat sebagai Perdana Menteri baharu, bila sampai waktunya.

Jelas beliau, penubuhan kerajaan interim sebenarnya tiada dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan dengan perkara itu hanya boleh terlaksana setelah Parlimen terbubar.

"Bagi saya, semua pihak kena ikut Perlembagaan Persekutuan dan serahkan kepada 220 ahli-ahli Parlimen bagi memutuskan siapa calon layak menjadi Perdana Menteri sekiranya Muhyiddin letak jawatan kelak.

"Dengan Anwar kini menerima sokongan terbanyak rakyat menerusi beberapa kaji selidik dibuat media tempatan, saya secara peribadi yakin Presiden PKR itu turut mampu meraih keyakinan majoriti ahli Parlimen untuk diangkat sebagai Perdana Menteri baharu.

"Tidak perlu buat kerajaan interim kerana perkara itu tidak dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan...Hanya ada 'kerajaan sementara' selepas Parlimen dibubar...kena ikut Perlembagaan Persekutuan, jangan ikut tafsiran sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hasil keputusan mesyuarat MKT pada Rabu malam memutuskan untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN serta-merta.

Selepas hampir lima jam bermesyuarat, Ahmad Zahid menegaskan ketetapan tersebut diambil berpandukan tujuh kegagalan kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin dalam memenuhi aspirasi yang digariskan parti itu.

Artikel Berkaitan:

Muhyiddin
Muhyiddin

Mesyuarat MKT itu turut memutuskan UMNO tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri atau kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, Ahmad Zahid turut mencadangkan seorang Perdana Menteri interim dilantik bagi menguruskan kerajaan bagi tempoh sementara, sehingga krisis Covid-19 berjaya ditangani dan negara mencapai immuniti berkelompok.

Mengulas mengenai kedudukan kerajaan PN ketika ini, Tze Tzin secara teori berpandangan kerajaan dipimpin Muhyiddin sudah dianggap runtuh susulan hanya mempunyai baki 74 daripada keseluruhan 112 kerusi Parlimen, setelah 38 kerusi ahli Parlimen UMNO dianggap dikosong susulan keputusan terkini parti berkenaan.

Atas pertimbangan itu, Ahli Parlimen Bayan Baru itu mencadangkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu meletakkan jawatan Perdana Menteri secara bermaruah dan tidak menunggu usul undi tidak percaya kepimpinan beliau dalam sidang Parlimen untuk 'dimalukan'.

"Soal sama ada ahli Parlimen UMNO akan ingkar keputusan parti atau tidak, itu masalah dalaman parti berkenaan. Namun, secara teori, Muhyiddin kena letak jawatan sebab pada mata umum, beliau sudah hilang sokongan majoriti ahli Parlimen.

"Saya fikir perkembangan beberapa hari akan datang akan lebih menarik. Kalau masa bersesuaian, PKR dan Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk berunding dengan UMNO demi menyelamatkan negara," katanya.