Kami sedia disiasat SPRM: JPNP

Mohd Hizamri Mohd Yasin
Mohd Hizamri Mohd Yasin
A
A
A

KUANTAN - Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika ada dakwaan mereka terlibat dengan salah guna kuasa dan rasuah berhubung penerokaan dan pencerobohan tanah di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

Pengarahnya, Datuk Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, kerjasama sepenuhnya akan diberikan bagi memastikan JPNP sebuah agensi kerajaan yang bersih daripada isu rasuah.

"Saya tiada masalah, kalau ada laporan mengatakan pihak JPNP terlibat dengan isu rasuah dalam isu kebun haram durian musang king di HSK Batu Talam. Sila buat laporan kepada SPRM dan biar mereka (SPRM) siasat.

"Saya dan kakitangan JPNP sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sehingga kes dapat diselesaikan untuk kebaikan semua kerana isu pencerobohan tanah ini sudah 20 tahun berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan segelintir pihak bahawa wujudnya rasuah di sebalik penerokaan dan pencerobohan tanah di HSK Batu Talam sehingga menyebabkan isu terbabit dibiarkan sehingga lebih 20 tahun.

Sebelum itu, beliau hadir pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) penanaman pokok dan pemulihan Hutan di Pahang bersama Wasco Coating Sdn Bhd di Gebeng pada Khamis.

Naib Presiden GROUP HSE, Iqbal Gopalsamy Abdullah (kiri) bersama Mohd Hizamri selepas majlis menandatangani MoU penanaman pokok dan pemulihan Hutan di Pahang bersama Wasco Coating Sdn Bhd di Gebeng, Kuantan pada Khamis.
Naib Presiden GROUP HSE, Iqbal Gopalsamy Abdullah (kiri) bersama Mohd Hizamri selepas majlis menandatangani MoU penanaman pokok dan pemulihan Hutan di Pahang bersama Wasco Coating Sdn Bhd di Gebeng, Kuantan pada Khamis.

Mohd Hizamri berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak terlepas pandang kewujudan kebun haram di kawasan terbabit sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, namun selepas pemutihan kawasan dilaksanakan oleh kerajaan Pahang, banyak pembukaan tanah-tanah haram di kawasan HSK dapat dikesan.

"Seperti semua tahu, benda ini sudah lama, kalau ikutkan sudah 20 tahun, mungkin sebelum ini kita tidak tahu... macam saya, baru dua tiga tahun di sini, jadi sekarang kita cuba buat yang terbaik untuk memastikan perkara sama tidak berulang," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai operasi pembersihan kebun durian haram sejak Ahad lalu, Mohd Hizamri berkata, pihaknya hanya menjalankan tugas seperti diarahkan kerajaan negeri selepas merujuk perkara itu kepada pejabat Penasihat Undang-undang Pahang.

Beliau menjelaskan, operasi ini diketuai Pejabat Tanah (Raub) dan komander (operasi) adalah Pegawai Daerah (Raub) sendiri dan dibantu agensi penguatkuasaan lain.

"Cuma memandangkan kawasan (operasi) membabitkan hutan simpan, jadi disebabkan itu JPNP dilihat seperti ke depan, sebenarnya DO (Pegawai Daerah Raub) yang 'lead'," katanya.