Mayat dengan 12 kesan tikaman: Polis buru suspek utama

Rakaman CCTV kehadiran suspek di kawasan pangsapuri. FOTO: Polis
Rakaman CCTV kehadiran suspek di kawasan pangsapuri. FOTO: Polis
A
A
A

NILAI - Polis sedang memburu suspek utama kes penemuan mayat seorang lelaki dengan kesan 12 tikaman di sebuah unit Pangsapuri Damai Ria, Mantin di sini pada 30 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, suspek dikatakan telah datang ke kawasan pangsapuri terbabit untuk bertanyakan lokasi rumah mangsa.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan masuk pangsapuri berkenaan pada 28 Disember lalu, lelaki tersebut telah dilihat datang memakai pelitup muka dan baju panas 'hoodie' menutup kepala.

"Dia kemudian ke pondok pengawal bertanya alamat rumah mangsa," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Johari berkata, polis percaya lelaki berkenaan adalah suspek utama dalam kejadian terbabit.

Tambahnya, hasil soal siasat mendapati rumah tersebut disewa mangsa bersama dua rakannya yang ditahan sebelum ini untuk melakukan kegiatan songsang sesama jantina.

"Kejadian dipercayai berlaku pada 28 Disember dan mayat mangsa hanya ditemui pada 30 Disember.

"Reman kedua-dua suspek yang ditahan sebelum ini akan tamat esok dan kita akan membuat permohonan sambung reman untuk meneruskan siasatan," katanya.

Justeru katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek utama diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai atau balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membabitkan kes bunuh.

Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu seorang lelaki ditemukan maut dengan 12 kesan tikaman pada badan di Pangsapuri Damai Ria, Mantin.

Ringkasan AI

  • Polis memburu suspek utama kes pembunuhan seorang lelaki di Pangsapuri Damai Ria, Mantin pada 30 Disember
  • Suspek berpakaian hoodie dan pelitup muka dilihat bertanya lokasi rumah mangsa
  • Mayat mangsa dengan 12 kesan tikaman dijumpai dua hari selepas kejadian
  • Rumah mangsa digunakan untuk kegiatan songsang sesama jantina
  • Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana pembunuhan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!