'Hubungan saya hanya kawan, kenalan golf'

SHAH ALAM - Seorang wanita yang didakwa dikaitkan dengan Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali berkait isu integriti dan urusan peribadi, tampil menafikan perkara itu.
Dasyarina Sarilah Daud berkata, penjelasan itu dibuat secara sukarela bagi membersihkan nama, keluarga dan syarikatnya.
"Saya ingin menjelaskan bahawa hubungan saya dengan Datuk hanyalah kawan dan kenalan golf, tiada kena mengena dengan status peribadi saya.
"Saya juga tidak pernah mendapat sebarang projek kerajaan, apatah lagi dari pihak MINDEF (Kementerian Pertahanan) dan kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jelas Dasyarina, berhubung perkara yang tular berkenaan dirinya, dia menafikan segala tohmahan dan tuduhan.
"Saya dalam proses ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap bahan-bahan yang ditularkan kerana perkara itu tidak benar," ujarnya.
Sabri pada 2 Januari turut membuat sidang media, menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau dan menyifatkannya sebagai tidak benar, mengelirukan serta berunsur fitnah serius.
Penafian itu dibuat susulan dakwaan yang tersebar di media sosial, yang turut mengheret nama institusi pertahanan negara.
Peguam beliau, Muhammad Firdaus Jumaluddin yang bertindak sebagai jurucakap diberi kuasa berkata, tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak berasas malah berpotensi mencemar reputasi Puspahanas, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhan.
Menurut beliau, sehingga kini Sabri tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan dan tidak pernah didapati bersalah atas kes rasuah, penyalahgunaan kuasa atau salah laku oleh mana-mana pihak berkuasa yang berwibawa.
Sabri juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang menerbitkan atau mengulang siar kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau.
Beliau juga telah membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan dan beberapa lagi laporan susulan akan dikemukakan.
Pada Disember tahun lalu, aktivis politik Badrul Hisham Shaharin, atau Chegubard, mendakwa Sabri terlibat dalam kesalahan berkaitan rasuah dengan mendedahkan satu set dokumen yang dikatakan merangkumi kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang didakwa diterima oleh pertubuhan Pembela Tanah Air (Peta) pada Mei 2024.
Dakwaan itu turut memetik nama Dasyarina dengan dakwaan hubungan peribadi.
Ringkasan AI
- Seorang wanita, Dasyarina Sarilah Daud, menafikan adanya hubungan selain dari kawan dan kenalan golf dengan Laksamana Madya Datuk Sabri Zali
- Dasyarina juga menafikan pernah mendapat sebarang projek kerajaan atau dari MINDEF
- Ia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan dan tohmahan yang tidak benar mengenai dirinya
- Datuk Sabri Zali juga menafikan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dan menjelaskan ia tidak benar dan berunsur fitnah
- Sabri tidak pernah disabitkan dengan kesalahan rasuah atau salah laku oleh mana-mana pihak berkuasa yang berwibawa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
