X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Kes rentas negeri cetus lima kluster besar di Terengganu

Seramai 900 penduduk Kampung Kubang Jela, Manir, Kuala Terengganu masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19. FOTO: Ihsan Facebook Dr Nor Azimi
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 463 kes Covid-19 akibat aktiviti rentas negeri (import B) dikesan di Terengganu bagi tempoh Mei dan Jun tahun ini seterusnya mencetuskan lima kluster yang besar dalam komuniti, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau berkata, kes import B dari pelbagai negeri itu merekodkan bilangan tertinggi di Kemaman iaitu sebanyak 307 kes diikuti Kuala Terengganu (36 kes) dan bakinya di daerah lain.

"Ini telah mencetuskan lima kluster besar seperti Kluster Gong Badak (226 kes), Kluster Langgar Hilir (45 kes), Kluster Industri Teluk Kalong (109 kes), Kluster Pasar Kemunting, Pahang (13 kes) dan Kluster Kubang Jela (131 kes).

"Terbaharu, Kluster Gong Pasir di Dungun juga berpunca daripada rentas negeri dan sehingga kini, sebanyak 40 kes positif Covid-19 telah dikesan daripada kluster itu," katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya pada Rabu malam.

Dr Nor Azimi berkata, sebahagian kes import B yang berjaya dikesan itu membabitkan individu yang menjalani saringan kesihatan sebelum memulakan tugas di Terengganu.

"Cara begini kita boleh kesan awal dan penularan dapat dicegah...yang membimbangkan kita adalah warga Terengganu sendiri yang sering berulang-alik ke negeri berisiko atas sebab kerja dan lain-lain urusan.

"Rentas negeri tiada masalah namun mereka mesti lebih bertanggungjawab untuk jaga diri sendiri agar tidak memberi risiko kesihatan kepada orang lain. Jika kita tahu kita berisiko, pergilah buat penilaian dan saringan di Klinik Kesihatan berdekatan. Jangan sebab kelalaian kita, orang lain yang terkena," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kemungkinan jangkitan berlaku disebabkan mereka gagal mematuhi SOP (prosedur operasi standard) semasa berada di negeri luar atau gagal patuh SOP semasa perjalanan pulang ke Terengganu.

"Namun, berkemungkinan mereka masih melakukan aktiviti berhimpun bersama keluarga atau rakan terdekat sedangkan baru pulang daripada rentas negeri kerana ini adalah antara punca berlakunya penularan dalam komuniti dan akhirnya membentuk kluster baharu di Terengganu.

"Kita tidak mahu sebab kelalaian seperti ini (gagal mematuhi SOP) menyebabkan Terengganu terpaksa patah balik ke Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kita nak bergerak ke Fasa Tiga, bukannya ke belakang," katanya.

Dr Nor Azimi bagaimanapun berkata, pada masa ini, ujian saringan sebelum seseorang individu rentas negeri masuk ke Terengganu belum diwajibkan dan ia adalah keputusan dasar yang hanya boleh diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara dan kerajaan Pusat. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!