X

Kindly register in order to view this article
!

Ledakan kes Covid-19 penuhkan katil, ICU HKL

Ledakan kes Covid-19 memenuhkan katil-katil dan unit rawatan rapi (ICU) hospital.
A
A

KUALA LUMPUR - Minggu lalu merupakan minggu yang amat mencabar buat petugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila ledakan kes Covid-19 memenuhkan katil-katil dan unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.

Pakar perunding perubatan kecemasan HKL, Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose berkata demikian dalam catatan terbaharunya bertajuk 'Catatan Malam Minggu' yang dimuat naik di laman Facebook beliau.

Dr Alzamani berkata, fenomena sama juga berlaku di hospital-hospital di Lembah Klang.

Malah, katanya, sejak tahun lalu, pengarah hospital dan semua ketua-ketua jabatan bermesyuarat setiap hari termasuk pada hari minggu serta memantau rapat semua kes.

"Hampir kesemua wad di bangunan utama sudah bertukar menjadi wad Covid-19. Perlahan-lahan ketua-ketua jabatan merelakan wad masing-masing ditukarkan kepada wad Covid-19," katanya menerusi catatan berkenaan pada malam Ahad.

Catatan Dr Alzamani menerusi Facebook beliau pada malam Ahad.
Catatan Dr Alzamani menerusi Facebook beliau pada malam Ahad.

Beliau berkata, dari usaha seakan 'Belanda minta tanah' atau ‘Israel mengambil tanah rakyat Palestin', perlahan-lahan wad pembedahan terutamanya diserahkan untuk dijadikan wad Covid-19.

"Kini sudah ada 700 katil untuk kes-kes Covid-19 di HKL. ICU yang asalnya hanya ada 28 katil, kini menjadi 72 katil. Malah dewan-dewan bedah ditukar menjadi ICU.

"Hospital seperti Hospital Rehabilitasi Cheras dan yang terkini Hospital Pediatrik Kanak-kanak juga digunakan untuk pesakit Covid-19 bagi menambah kapasiti," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, kerjasama erat dalam kalangan semua ketua jabatan di HKL dan semua kakitangan terdiri daripada pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat, pembantu perawatan kesihatan dan pemandu berjaya mengendalikan semua kes Covid-19 di HKL.

Malah, katanya, pegawai farmasi, pegawai juruteknologi makmal dan juru X-ray juga berhempas pulas, termasuk unit kejuruteraan hospital turut membantu dalam modifikasi struktur serta keperluan oksigen hospital.

"Dengan penambahan kes Covid-19 yang meledak terutama pada minggu lalu, Hospital Ampang terpaksa dijadikan hospital Covid-19 sepenuhnya.

"Ini menyebabkan kes-kes kecemasan yang bukan Covid-19 menyerbu HKL dan kesemua katil-katil yang sudah penuh melebihi kapasiti dibesarkan dari semasa ke semasa.

"Walaupun katil-katil kanvas dibuka, ia juga dipenuhi dengan cepat. Hospital dalam mod 'bencana'. Troli pesakit juga habis digunakan walaupun jumlahnya sudah ditambah sebelum ini tetapi kesemua petugas masih mendepaninya dengan sabar," kata beliau.

Tambah Dr Alzamani, pihaknya berterima kasih kepada semua yang mendoakan mereka dalam menangani kemelut itu, malah beliau tidak akan patah semangat sebaliknya amat bangga dengan pasukan petugas terbabit yang disifatkan sebagai pasukan tabah.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!