Pulau Pinang sasar 1,000 individu disaring dalam PSC-19 hari ini

Kon Yeow (depan, tengah) bergambar bersama semua pihak terlibat ketika melawat PSC-19 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada Isnin.
Kon Yeow (depan, tengah) bergambar bersama semua pihak terlibat ketika melawat PSC-19 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Kerajaan negeri Pulau Pinang mensasarkan 1,000 orang dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) akan disaring pada hari pertama Program Penang Saring Covid-19 (PSC-19) yang dilancarkan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, empat kawasan yang terlibat dengan permulaan program itu adalah Padang Kota; Datuk Keramat, Sungai Pinang dan Pulau Tikus. Menurut beliau, tujuan pelaksanaan PSC-19 adalah bagi mengenalpasti dan mengasingkan individu pembawa Covid-19 seterusnya mengawal perebakan virus tersebut.

"Objektif ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menurunkan jumlah kes Covid-19 dengan memutuskan rantaian jangkitan dalam kalangan komuniti. Hari pertama pelaksanaan program ini, kita mensasarkan 1,000 orang akan disaring dari empat DUN.

"Inisiatif ini adalah langkah pemerkasaan kesihatan awam dalam menangani penularan pandemik Covid-19 melalui saringan komuniti secara bersasar di Pulau Pinang," katanya selepas melawat PSC-19 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Kon Yeow berkata, program seumpama itu perlu bagi memastikan Pulau Pinang mencatatkan tidak melebihi purata tujuh hari nilai ambang yang ditetapkan kerajaan Pusat iaitu 217 kes.

"Sekiranya purata nilai ambang tersebut melebihi daripada yang ditetapkan, maka Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menurunkan fasa sedia ada.

Contohnya, Pulau Pinang kini berada di fasa dua, jika kes melebihi purata tujuh hari nilai ambang maka MKN akan menurunkan ke fasa satu semula. "Sama juga jika fasa tiga, kita akan diundurkan semula ke fasa dua jika melebihi nilai ambang. Oleh sebab itu, program seperti ini amat perlu. Walaupun nanti kita berada di fasa empat ujian saringan masih penting bagi memastikan kita bebas wabak," katanya.

Beliau berkata, program tersebut melibatkan keseluruhan 40 DUN yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dengan kos RM3 juta. "Melalui program PSC-19 ini, ujian saringan menggunakan kaedah RTK-Ag akan dilaksanakan secara bersasar di seluruh Pulau Pinang bagi membolehkan rakyat Pulau Pinang menjalani ujian saringan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Selain berurusan dengan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pendaftaran juga boleh dibuat melalui laman sesawang https://penangsaring.selangkah.my," katanya.

Kon Yeow berkata, PSC-19 ini akan disambung pada 10 dan 11 Julai ini di enam DUN di kawasan seberang.

"DUN Perai, Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti pada Sabtu, manakala Ahad pula di DUN Sungai Dua dan Permatang Berangan bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

Lokasi pusat saringan akan diumumkan dalam jangka masa terdekat oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo.

"Saya berharap semua wakil rakyat dapat memberikan kerjasama dan mengambil tanggungjawab penuh ini untuk terus memainkan peranan dalam meningkatkan pemahaman rakyat berhubung saringan Covid-19.

Ia juga bagi memastikan matlamat serta objektif kita untuk memutuskan rantaian Covid-19 dapat dicapai," katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow juga berharap agar kerajaan Pusat mewajibkan 'self-testing' oleh semua rakyat apabila 'self-testing kit' memasuki pasaran negara.

Katanya, ia bagi membolehkan setiap individu boleh menjalankan ujian saringan sendiri di rumah dan ia dilihat lebih efektif.