Mencari jalan keluar atasi pandemik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KETIKA rakyat sedang membilang jumlah yang disahkan positif Covid-19 hari demi hari, ada dalam kalangan ahli politik yang kalut membilang ahli Parlimen yang akan menyokong mereka untuk menarik diri daripada kerajaan.

Politik negara kembali mendapat perhatian apabila timbul desas-desus mengatakan UMNO sedang memanggil ahli Parlimennya secara berperingkat untuk mendapat perakuan meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum 1 Ogos.

Dikatakan lebih 10 ahli Parlimen yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dipanggil menemui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan di pejabat UMNO bagi membincangkan perkara itu.

Tetapi pada masa sama, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberitahu sekian banyak ahli Parlimen UMNO tidak akan menyokong usaha yang dilakukan Ahmad Zahid untuk menarik balik sokongan ke atas kerajaan PN.

Rata-rata rakyat berpendapat kemelut politik ini tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih tidak reda, malah bukan masa yang sesuai untuk menganggu gugat kerajaan.

Ini kerana kerajaan sedang bertungkus lumus berusaha menguruskan pandemik Covid-19.

Sekarang adalah waktu untuk bersatu dengan tujuan utama memastikan kestabilan negara kerana negara sedang menghadapi pelbagai masalah untuk ditangani, semuanya pada masa sama.

Dalam keadaan rakyat susah, tertekan dan hilang kebebasan akibat Covid-19, menjadi tanggungjawab semua ahli Parlimen berusaha mencari jalan keluar atasi pandemik ini, bukan jalan keluar dari kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Mesti ada alternatif lain yang dapat dilakukan oleh ahli-ahli politik kita untuk berusaha membawa negara keluar daripada kemelut yang sedang dihadapi ini.

Sebarang usaha untuk menjadikan Parlimen sebagai medan menukar kerajaan pada saat dan ketika rakyat mengharapkan segala tenaga dan fikiran digembleng untuk melawan Covid-19, hanya akan menambah kekecewaan dan kesengsaraan kita.