PdPR bukan penghalang dapat '4 flat'

Najwa (kiri) menunjukkan keputusan cemerlang 4 flat yang diperoleh dalam peperiksaan STPM diumumkan pada Khamis kepada kedua ibu bapanya.
Najwa (kiri) menunjukkan keputusan cemerlang 4 flat yang diperoleh dalam peperiksaan STPM diumumkan pada Khamis kepada kedua ibu bapanya.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bukan penghalang bagi seorang pelajar luar bandar meraih keputusan cemerlang dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan pada Khamis.

Najwa Mohd Kamal, 20, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek dari Kampung Beladau Kolam, Manir di sini berjaya memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 atau juga digelar '4 flat'.

Menurut Najwa, dia tidak menyangka akan mendapat '4 flat' berikutan pelbagai cabaran terpaksa dihadapi sepanjang tempoh mengikuti PdPR apatah lagi keputusan ujiannya sebelum ini bukan dalam kategori cemerlang.

“Memang tidak sangka langsung sebab keputusan sebelum ini rendah dan oleh itu saya sasar hanya dapat sekitar 3.84 saja. Bagaimanapun alhamdulillah ini rezeki saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Anak ke lapan dari 10 beradik itu yakin dan percaya keputusan cemerlang diperolehnya itu adalah hasil doa kedua ibu bapanya, Mohd Kamal Muda, 59, bekas guru dan Wan Zaharah Wan Ibrahim, 52, seorang suri rumah.

Selain rajin belajar dan mengulangkaji pelajaran katanya, dia juga sering mengamalkan solat sunat sebelum dan selepas menunaikan solat fardu sebagai salah satu ikhtiar penerang hati serta tidak lokek berkongsi ilmu dengan rakan-rakan.

“Sebenarnya saya pernah ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat Diploma Sains selepas mendapat 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun menolak kerana ingin mengambil STPM.

“Bagi saya, peluang masuk ke universiti melalui STPM lebih luas dengan lebih banyak kursus ijazah boleh diambil selain tempoh belajar lebih pendek berbanding diploma. Alhamdulillah hasrat saya akhirnya tercapai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Najwa bercita-cita mahu menyambung pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk menjadi seorang pendidik atau pensyarah dalam bidang agama.