Bekalan air terawat: Berita baik buat Pulau Pinang selepas 51 tahun

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

GEORGE TOWN - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bahawa Perak akan membekalkan air terawat ke Pulau Pinang adalah salah satu berita terbaik untuk Pulau Pinang dalam tempoh lima dekad ini.

Ini kerana, sepanjang 51 tahun yang lalu, Pulau Pinang sangat bergantung kepada Sungai Muda sebagai satu-satunya sumber air mentahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan berkata, projek bekalan air utama terakhir yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan untuk Pulau Pinang ialah Skim Air Sungai Muda.

Menurutnya, ia dibuka oleh Perdana Menteri Malaysia Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1973.

"Pulau Pinang perlu segera meneroka sumber air utama yang kedua untuk memenuhi keperluan airnya dan memacu kemajuan sosioekonomi menjelang 2030.

"Adalah lebih murah dan lebih rasional untuk Pulau Pinang membeli air dari Perak, supaya PBAPP boleh terus mengenakan caj pada kadar air yang berpatutan di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pathmanathan menambah, Projek Air Perak-Pulau Pinang dijangka memberi beberapa manfaat kepada Pulau Pinang antaranya bekalan air mencukupi untuk pengguna negeri ini selepas 2030.

"PBAPP sedang melaksanakan Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030) untuk memastikan bekalan air mencukupi sehingga 2030. Melangkaui 2030, Pulau Pinang memerlukan Projek Air Perak-Pulau Pinang atau penyahgaraman strategik serta projek kitar semula air sisa.

Artikel Berkaitan:

"Manfaat kedua ialah peningkatan kapasiti bekalan air untuk menyokong kemajuan sosioekonomi seterusnya. Untuk terus maju dalam tempoh 20 tahun akan datang, Pulau Pinang perlu memanfaatkan sumber air utama yang kedua seperti Projek Air Perak-Pulau Pinang ini," katanya.

Jelas beliau lagi, projek air itu juga akan membekalkan secara terus kepada pengguna air di Seberang Perai Selatan (SPS).

"Air dari Perak akan dipam ke kawasan selatan tanah besar, justeru Projek Air Perak-Pulau Pinang akan menambah baik dan menstabilkan bekalan air untuk 79,956 pengguna di SPS.

"Pada tahun 2023, penggunaan air di SPS dianggarkan sebanyak 182 juta liter sehari (JLH). Permintaan air di daerah ini diunjurkan mencecah 285 JLH menjelang 2030," katanya lagi.

Menurutnya, projek air itu juga akan memanfaatkan kepada pengguna di kawasan Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan bahagian pulau.

"Apabila ia dilaksanakan, projek itu akan membekalkan air terus ke SPS. Berkemungkinan PBAPP tidak perlu mengepam air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke SPS.

"Sehubungan itu, jumlah air terawat yang lebih tinggi daripada LRA Sungai Dua kemudiannya boleh disalurkan semula kepada kira-kira 491,153 pengguna air di SPU, SPT, Barat Daya (BD) dan Timur Laut (TL)," jelas beliau.

Pathamanathan menambah, dengan akses kepada air dari Perak di SPS, PBAPP boleh mengepam lebih banyak air dari LRA Sungai Dua ke bahagian pulau pada masa hadapan untuk mempertahankan rizab dua empangan yang mungkin hanya diisi semula oleh air hujan.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perubahan iklim telah mengubah corak hujan di kawasan tadahan air Pulau Pinang. Pada 6 Mei lalu, kapasiti efektif Empangan Air Itam ialah 37.3 peratus manakala kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang ialah 54.7 peratus.

"Projek ini juga akan meminimumkan ancaman dan impak insiden Sungai Muda yang berlaku pada pada 2022 dan 2023. Pengguna di SPS seharusnya tidak lagi terancam dengan Insiden Sungai Muda jika projek ini dilaksanakan," katanya.

Menurut beliau, pembelian air sungai yang dirawat secara konvensional dari Sungai Perak akan membabitkan perbelanjaan yang lebih rendah daripada menjalankan projek untuk menyahgaram air laut atau mengitar semula air sisa di Pulau Pinang.

Ahad lalu, Anwar mengumumkan bahawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah bersetuju untuk membekalkan air ke Pulau Pinang dari Sungai Perak.

Anwar berkata, pembekalan itu akan melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian sehingga ke kawasan Seberang Perai.

Menurutnya, fasa pertama, bekalan air tersebut akan meliputi kawasan SPS termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!