YBR peruntuk biasiswa RM4.7 juta taja pelajar cemerlang

Dari kiri: Rosnarizah, Pkharuddin, Syaiful Rizal Abdul Ghani, Mohd Irwanserta Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR semasa Majlis MoU antara KPM bersama Yayasan Bank Rakyat.
Dari kiri: Rosnarizah, Pkharuddin, Syaiful Rizal Abdul Ghani, Mohd Irwanserta Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR semasa Majlis MoU antara KPM bersama Yayasan Bank Rakyat.
A
A
A

PUTRAJAYA – Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan RM4.7 juta bagi biasiswa pendidikan untuk 100 pelajar cemerlang lepasan matrikulasi menerusi kerjasama dengan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM).

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, biasiswa pendidikan untuk pelajar yang terpilih bagi program itu meliputi elaun sara diri, elaun buku, pemberian komputer riba serta peruntukan Bantuan Awal Pengajian (BAP) sebagai persediaan untuk memulakan semester baru.

"Jalinan kerjasama selama empat tahun bermula dari tahun 2022 sehingga 2025 ini menyasarkan penerima seramai 25 orang pelajar setiap tahun bagi penajaan biasiswa pendidikan setiap seorang berjumlah RM47,000,” katanya.

Beliau berkata demikian, pada pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara YBR dan dan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM) pada Isnin.

Memorandum ditandatangani bersama oleh Syaiful dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali serta disaksikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan juga Pengarah Bahagian Matrikulasi, Dr Rosnarizah Abdul Halim.

Syaiful Rizal yang juga bekas pelajar dari matrikulasi berharap kerjasama ini dapat menjadi suntikan semangat buat pelajar cemerlang matrikulasi dari keluarga B40 melangkah jauh di dalam bidang yang diceburi dapat membantu meningkatkan ekonomi keluarga pelajar tersebut.

Sementara itu, Mohd Irwan berkata, langkah ini diharap menjadi motivasi dan pembakar semangat kepada pelajar cemerlang untuk terus berjaya di dalam dalam pendidikan serta menyumbang kepada generasi muda yang berkaliber.

"Penajaan pelajar ini turut memandang dari aspek pembangunan modal insan negara yang mampan serta menunjukkan komitmen diberikan YBR dan BMKPM demi membantu pelajar yang cemerlang dan tidak berkemampuan dapat mengorak langkah ke hadapan tanpa sebarang masalah kewangan," katanya.