103 projek bekalan air berjaya disiapkan - Wan Rosdy

Wan Rosdy ketika menjawab pertanyaan mengenai isu air pada persidangan DUN Pahang pada Rabu.
Wan Rosdy ketika menjawab pertanyaan mengenai isu air pada persidangan DUN Pahang pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 103 projek Pembangunan Bekalan Air Pahang berjaya disiapkan membabitkan kos sebanyak RM121.2 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga kini kerajaan Pahang dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) mempunyai 32 projek yang sedang dalam peringkat pelaksanaan.

Menurutnya, Surat Setuju Terima (SST) telah diserahkan kepada kontraktor yang dilantik dengan nilai keseluruhan berjumlah RM461 juta.

"Selain itu, projek masih belum dilaksanakan, namun ia di peringkat pra-pembinaan. Kerja-kerja ini termasuk merancang, juru perunding dan mendapatkan kelulusan pelbagai peringkat sama ada pengurusan perolehan atau kelulusan perancangan projek," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif, (BN-Inderapura) yang ingin tahu kedudukan semasa kewangan Paip dalam menampung keperluan pembangunan dan naik taraf bekalan air pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut menjelaskan sejumlah 82 projek sedang dalam peringkat pra pembinaan membabitkan komitmen kewangan berjumlah RM1.91 billion.

Katanya, ini sejajar dengan hasrat kerajaan Pahang merealisasikan pengurangan masalah bekalan air kepada 90 peratus pada tahun 2026.

"Kerajaan negeri dan PAIP akan sentiasa berusaha memastikan mutu perkhidmatan bekalan air terus ditingkatkan dari masa ke masa.

Artikel Berkaitan:

'Sebagai harapan untuk PAIP terus melaksana projek-projek pembangunan dan menambah baik keperluan operasi seterusnya disampaikan kepada pengguna. Berilah ruang dan masa kepada PAIP untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri," katanya.

Sebelum itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang sedaya upaya membantu PAIP agar ia menjadi sebuah syarikat yang mempunyai tadbir urus baik dan mempunyai kewangan kukuh sekali gus memberikan perkhidmatan bekalan air yang baik kepada pengguna.

"Kewangan PAIP menunjukkan satu peningkatan yang ketara. Buat pertama kali dalam sejarah pengkorporatan, PAIP telah berjaya mencatat keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir Disember 2023.

"Usaha ini bukan datang secara sekelip mata, ia sudah pasti hasil saban tahun menerusi tadbir urus yang baik dan penambahbaikan berterusan dari masa ke masa," jelasnya.

Beliau berkata, kedudukan aliran tunai yang lebih positif dan kukuh adalah lebih diutamakan bagi memastikan PAIP berdaya saing dalam menyediakan kerja-kerja perbelanjaan modal (CAPEX).

Jelasnya, kerja perbelanjaan modal ini akan menjadi fokus utama dalam memastikan PAIP mampu memberikan perkhidmatan yang baik kepada pengguna.

"Insya-ALLAH, kedudukan kewangan yang kukuh ini, dapat memberikan keyakinan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk memberi peruntukkan kewangan dalam usaha PAIP menggantikan paip-paip usang, menaik taraf loji dan tangki-tangki.

"Keadaan operasi juga akan dipertingkatkan dengan pengukuhan kewangan ini. Walau bagaimanapun, proses ini memerlukan masa untuk melihat hasilnya secara keseluruhan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!