Selangor sangkal dakwaan kaut keuntungan jual vaksin

Amirudin (empat dari kiri) sewaktu sidang media selepas mengadakan lawatan ke PPV Tropicana Gardens Mall, pada Rabu.
Amirudin (empat dari kiri) sewaktu sidang media selepas mengadakan lawatan ke PPV Tropicana Gardens Mall, pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Kerajaan Selangor menyangkal dakwaan bahawa pihaknya cuba mengaut keuntungan apabila menjual vaksin yang diperoleh daripada pembekal kepada pemain industri.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu keuntungan tidak timbul berikutan pihak industri memahami mereka bakal berdepan kerugian lebih besar apabila tidak dibenarkan beroperasi sekiranya pekerja masing-masing tidak segera divaksin.

Beliau berkata, kerajaan Selangor menerima permohonan daripada lebih 50,000 syarikat di negeri ini yang bersedia untuk menempah bekalan vaksin buat pekerja mereka.

"Angka permohonan itu amat besar dengan lebih dua juta pekerja telah didaftarkan untuk program ini bagi percepatkan vaksinasi dalam pemain industri.

"Tak timbul langsung soal keuntungan kerana kita turut menyusun lebih 5,000 petugas dan kos tertentu untuk Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Yang ada (keuntungan) itu mungkin sedikit melibatkan kos pengurusan yang lebih rendah jika dibandingkan dengan program lain oleh kerajaan Persekutuan," katanya sewaktu sidang media selepas lawatan ke PPV Tropicana Gardens Mall, pada Rabu.

Amirudin berkata demikian bagi menjawab dakwaan dilontarkan oleh Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar pada Rabu yang mengatakan bahawa kerajaan negeri cuba mengaut keuntungan apabila menjual vaksin yang diperoleh daripada pembekal kepada pihak industri.

Dalam perkembangan sama, Amirudin turut menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri mencuri dan menyimpan bekalan vaksin yang diberikan secara percuma kepada pihak industri.

Artikel Berkaitan:

"Itu tak benar kerana kita lakukan tempahan tambahan melalui pembekal sebab sejak dari awal lagi saya sedar kita harus mempunyai bekalan yang mencukupi.

"Tak ada isu kita ambil bekalan disediakan kerajaan Persekutuan malah Pharmaniaga telah bekalkan lebih daripada sewajarnya," katanya.

Kerajaan Selangor pada Rabu turut melancarkan Program Vaksin Selangor (SelVAX) sebagai usaha melengkapkan dan mempercepatkan proses vaksinasi rakyat dengan mengenal pasti kumpulan sasaran tertentu.

Sebelum ini, Muafakat Nasional (MN) Selangor mengingatkan kerajaan negeri Selangor supaya tidak menangguk di air keruh dengan mengambil keuntungan apabila menjual vaksin yang diperoleh daripada pembekal kepada pihak industri.

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau difahamkan ada beberapa syarikat telah pun membeli vaksin daripada kerajaan negeri untuk keperluan pekerja mereka sejak Selasa.

Menurutnya, beliau difahamkan bayaran dikenakan seorang pekerja sehingga RM300 untuk dua dos suntikan.

"Ertinya jika syarikat ada 1,000 pekerja, mereka (syarikat) kena bayar kepada kerajaan negeri sebanyak RM300, 000.

"Siapakah yang mengurus program ini? Saya difahamkan program ini diurus sebuah anak syarikat kerajaan negeri yang diterima daripada kerajaan negeri yang membeli terus kepada pihak pembekal," katanya pada sidang media MN di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tanjong Karang di sini pada Rabu.

Noh berkata, beliau berharap supaya pihak pembekal vaksin tidak terus menjual kepada kerajaan negeri, sebaliknya secara terus kepada industri yang memerlukan.

"Memang saya faham untuk membeli vaksin ini pelbagai syarat ditetapkan oleh pihak Jawatankuasa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Syarat ini juga seharusnya memperketatkan pembelian vaksin secara terus daripada industri kepada pembekal kerana di Selangor difahamkan ia dijual dan diiklankan kepada syarikat," katanya.

Katanya, tindakan menjual kepada syarikat pada harga tinggi dianggap tidak munasabah tatkala negara berusaha meningkatkan pemberian vaksin dalam kalangan rakyat.

"Kita sedia maklum, Selangor mencatatkan kes harian paling tinggi positif Covid-19 dan hampir setiap hari mencatatkan 2,000 kes sehari dan ini memberi kesan kepada peningkatan kes di seluruh negara," ujarnya

Justeru, katanya, kerajaan Selangor sepatutnya menambah lebih banyak PPV di negeri ini bagi meningkatkan imunisasi rakyat.

"Sepatutnya buka lebih banyak PPV di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding menjual vaksin kepada pihak industri," jelas Noh.