KDA peroleh tonik hadapi Selangor di Petaling Jaya

Ariff Farhan (kanan) meraikan jaringan William Lira semasa KDA FC mengatasi Kelantan FC 5-0 pada Jumaat lalu. - Foto KDA FC
Ariff Farhan (kanan) meraikan jaringan William Lira semasa KDA FC mengatasi Kelantan FC 5-0 pada Jumaat lalu. - Foto KDA FC
A
A
A

KEMENANGAN pada dua aksi lalu menjadi tonik kepada Kedah Darul Aman (KDA) menghadapi Selangor FC pada aksi Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Rabu ini.

Pemain pertahanannya, Ariff Farhan Md Isa berkata, motivasi tinggi diperlukan oleh Sang Kenari ketika ini untuk berdepan The Red Giants yang kini berada di tangga kedua liga super.

Menurutnya, tugas getir juga menanti mereka untuk bertahan dengan baik selepas berjaya melakukannya pada dua aksi lalu semasa mengatasi Negeri Sembilan FC 0-2 dan terbaru menjinakkan Kelantan FC 5-0 pada Jumaat.

"Kemenangan 5-0 ke atas Kelantan FC adalah tonik kami untuk lebih bersemangat bertemu Selangor FC dan saya berharap momentum permainan dapat diteruskan.

"Sebelum Ini kami juga dilihat kerap bolos dalam beberapa aksi terdahulu, tetapi jika dilihat pada dua aksi terakhir terakhir iaitu ketika menentang Negeri Sembilan FC dan Kelantan FC lalu, kami bertahan dengan baik," katanya mengulas aksi Liga Super bertemu Selangor pada perlawanan ke-12.

Ariff Farhan berkata, perlawanan tersebut penting buat Sang Kenari dan kemenangan yang diraih mampu membantu melonjakkan pasukan itu ke kedudukan lebih baik.

Menurutnya, persiapan rapi telah dilakukan oleh KDA FC bagi perlawanan seterusnya semasa Liga Malaysia berehat sementara selama dua minggu lalu.

"Perlawanan menentang Red Giants nanti akan menjadi perlawanan yang cukup sengit kerana kami juga mahu melonjakkan kedudukan ke tangga kedua manakala Selangor juga pada masa yang sama mahu kekalkan kedudukan itu.

"Kami yakin ketua jurulatih Nafuzi Zain sedang mempersiapkan perancangan dan strateginya yang perlu kami terapkan diatas padang nanti," ujar Ariff Farhan.