Jatti Miriek mahu Sarawak beri pengiktirafan etnik

Sarawak
Sarawak
A
A
A
MIRI - Masyarakat minoriti Jatti Miriek di Sarawak mempunyai impian yang masih belum dipenuhi sehingga hari ini walaupun antara kumpulan etnik tertua di negara ini.

Komuniti yang mempunyai hubungan ikatan sosial yang intim ini telah lama menuntut pengiktirafan etnik secara rasmi daripada kerajaan Sarawak dan bahkan mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan negeri pada 2016 untuk mendapatkan pengiktirafan yang telah lama tertangguh.

Tetapi selepas dua tahun menanti, Setiausaha Persatuan Jatti Miriek Miri (PJMM), Ujut Rahman berkata persatuan itu masih lagi menunggu jawapan rasmi berhubung permohonan itu selepas menyerahkan surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani pada 7 Disember 2016.

“Surat kedua diserahkan kepada Pengarah Unit Pentadbiran Jabatan Ketua Menteri Antonio Kahti Galis pada 21 Mac lepas dan masih belum menerima jawapan rasmi,” katanya di sini, semalam.

Ujut berkata walaupun telah wujud dalam budaya dan sejarah di Sarawak selama beberapa dekad, Jatti Miriek masih lagi belum diiktiraf secara rasmi sebagai satu daripada kumpulan etnik dalam pentadbiran kerajaan Sarawak terutama ketika mengisi borang permohonan.

Contohnya, beliau berkata masyarakat Jatti Miriek dikategorikan sebagai Melayu Sarawak bagi kolum bangsa dalam borang permohonan kerajaan negeri tidak seperti komuniti etnik lain seperti masyarakat Kenyah dan Kenyah di negeri ini.

“Kami mahu pengiktirafan rasmi ketika mengisi borang permohonan yang menyatakan bangsa kami sebagai Jatti Miriek bagi mendapatkan biasiswa pendidikan atau bahkan untuk pemilikan tanah,” katanya.

“Kami mahu pengiktirafan rasmi daripada kerajaan Sarawak demi generasi kami sendiri yang turut menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya dan menambah ia juga bagi memastikan generasi muda etnik itu mengetahui kewujudan masyarakat itu dalam jangka masa panjang.

Untuk rekod Jati Miriek adalah satu daripada komuniti tertua di negara ini dan dikatakan telah datang ke Sarawak sekitar 200 atau 300 tahun yang lalu manakala perkataan Miri dikatakan berasal daripada Miriek.
Artikel Berkaitan:


Terdapat kira-kira 10,000 masyarakat Miriek yang kebanyakannya menetap di utara Sarawak dan Brunei Darussalam.

Bahasa Miriek menurut penyelidik adalah antara bahasa tertua yang dituturkan di dunia dan satu daripada bahasa etnik di dunia yang sedang diancam kepupusan.

Satu-satunya buku mengenai bahasa itu yang terdapat di negara ini adalah Panduan Bercakap Bahasa Jatti Miriek yang telah diterbit dan dicetak oleh persatuan itu pada 2008.

Walaupun etnik ini terkenal dengan keupayaan mereka dalam perikanan dan pertanian, masyarakat Miriek ini turut berjaya dalam bidang perniagaan serta turut bekerja di sektor awam dan swasta.

Seorang ahli akademik telah menyatakan kebimbangannya bahawa bahasa Miriek yang merupakan bahasa kumpulan minoriti di Asia Tenggara, mungkin pupus disebabkan oleh bilangan penutur yang semakin mengecil dalam kalangan generasi muda.

James T. Collins, pakar bahasa terkenal dari Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dalam kertasnya pada seminar di Miri pada 2005, berkata ia juga besar kemungkinan disebabkan ketiadaan dokumen rasmi mengenai bahasa itu. - Bernama