Motif masih belum jelas

Kimura dipindahkan ke pejabat pendakwa raya Wakayama pada Isnin. - Foto: Agensi
Kimura dipindahkan ke pejabat pendakwa raya Wakayama pada Isnin. - Foto: Agensi
A
A
A

TOKYO - Serbuk senjata api ditemui di kediaman suspek yang cuba melemparkan bom asap ke arah Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida ketika beliau sedang berkempen pada akhir minggu lalu.

Media tempatan pada Isnin melaporkan pihak berkuasa menghabiskan masa lebih lapan jam menggeledah rumah individu itu yang dikenali sebagai Ryuji Kimura, 24.

"Penduduk sekitar turut dipindahkan buat sementara waktu kerana ancaman bahan letupan," jelas laporan itu lagi.

Stesen penyiar NHK mendakwa beberapa objek termasuk alatan seperti paip ditemui di kediamannya, sekali gus mengesahkan teori awal bahawa bahan letupan yang dibaling suspek adalah buatan sendiri.

"Pihak berkuasa juga sedang menganalisis maklumat yang diperoleh daripada telefon dan komputer Kimura untuk mendapatkan sebarang petunjuk.

"Sehingga kini, dia masih mengunci mulut dan enggan mendedahkan motif sebenar dia bertindak sedemikian," ujar laporan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Kimura telah dipindahkan ke pejabat pendakwa raya Wakayama dari balai polis.

Kejadian serangan menyasarkan Kishida berlaku kira-kira setahun selepas insiden pembunuhan ke atas bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe.

Kawalan keselamatan kini dipertingkatkan di seluruh negara berikutan para menteri iklim dan tenaga dari negara anggota Kumpulan Tujuh (G7) mengadakan pertemuan di bandar Sapporo.

Sehari sebelum itu, menteri luar blok tersebut juga dilaporkan tiba di bandar Karuizawa. - AFP