Asyraf persoal jaminan angka Covid-19 berubah bawah 4,000

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoal jaminan angka jangkitan Covid-19 akan berubah ke paras bawah 4,000 memandangkan jumlah syarikat yang diluluskan untuk beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bertambah.

Menurut beliau, pihaknya sebelum ini berkali-kali menegaskan jika Sekatan Penuh Pergerakan atau 'total lockdown 'dibuat, maka ia perlu dibuat secara menyeluruh untuk tempoh 14 hingga 21 hari sebagaimana hayat inkubasi virus.

Katanya, rakyat rela untuk menjalani ‘total lockdown’, namun kerajaan harus memberi bantuan kepada mereka.

“Kini dengan angka korban mencecah 4,944 nyawa, lebih 734,048 orang terjangkit, 32 juta rakyat Malaysia terseksa lebih enam bulan lamanya dan nilai ekonomi ratusan billion ringgit lesap secara sia-sia, apakah kerajaan masih mahu ulangi dan guna pendekatan sama?

“Ada pepatah Inggeris yang bermaksud ‘kegilaan ialah apabila melakukan sesuatu berulang kali tetapi mengharapkan kesan yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, Sekatan Pergerakan Penuh di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan selama 28 hari ternyata tidak memberi hasil yang membanggakan malah rakyat terpaksa berkurung lagi dengan istilah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Setelah 28 hari yang sia-sia, rakyat dipaksa lagi untuk berkurung bagi tempoh yang belum dapat dipastikan kerana kaedah baru di bawah PPN bergantung kepada angka purata kes baharu Covid-19.

“Kes baharu perlu di bawah 4,000 selama tujuh hari berturut-turut. Dengan kata lain, kalau angka kes baharu masih di atas 4,000 maka rakyat mesti terus berkurung di rumah,” katanya.

Artikel Berkaitan: