Vaksinasi besar-besaran jalan keluar krisis pandemik

Unit Bergerak Vaksinasi memproses data penduduk sebelum vaksin diberikan.
Unit Bergerak Vaksinasi memproses data penduduk sebelum vaksin diberikan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tahap jangkitan dalam masyarakat, kapasiti sistem penjagaan kesihatan awam dan kadar vaksinasi sewajarnya menjadi prinsip panduan atau penentu sebelum Malaysia memasuki fasa seterusnya mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN), iaitu strategi peralihan keluar krisis pandemik Covid-19 yang merangkumi empat fasa, menurut beberapa pakar ekonomi.

Mereka berpandangan meskipun jika petunjuk nilai ambang ini dicapai dan keadaan mencatatkan pengoperasian penuh, namun prosedur operasi standard (SOP) seharusnya menjadi amalan seluruh rakyat Malaysia, sekurang-kurang buat masa ini.

Situasi Sebenar Kerap Berubah

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, setiap orang perlu melaksanakan peranan mematuhi SOP dan pada masa sama, mendapatkan vaksin untuk mempercepat lagi proses pemulihan ekonomi.

“Saya percaya kita akan dapat kembali menjalani rutin harian namun buat masa ini, kita harus berpegang kepada prinsip panduan ini untuk beralih ke fasa seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Pada 15 Jun, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PPN merangkumi empat fasa dengan setiap fasa berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator nilai ambang untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya.

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

Indikator pertama ialah keadaan penularan Covid-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, indikator kedua pula keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan indikator ketiga adalah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Artikel Berkaitan:

Pendekatan berfasa ini bermula dengan fasa pertama pada Jun, iaitu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh yang sedang dilaksanakan dalam keadaan bilangan kes adalah tinggi, sistem kesihatan awam pada tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin di Dewan Muafakat Johor Bukit Gambir, Bukit Gambir di Tangkak, Johor pada 22 Jun lepas, Muhyiddin berkata, meskipun kerajaan telah menentukan sasaran seperti tarikh, tempoh, kadar dan jumlah kes; proses vaksinasi serta kapasiti penggunaan katil di ICU, namun situasi sebenar sentiasa berubah.

“Ia (Pelan Pemulihan Negara) ada apa yang kita panggil nilai ambang atau threshold... tetapi kita kena faham keadaan berubah-ubah, sebab itu, kita boleh buat sedikit pelarasan.

“Ini nanti akan diputuskan pada sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang saya pengerusikan untuk nilai keadaan,” katanya.

Proses vaksinasi Covid-19 di Labun capai kemuncaknya dengan 82 peratus penduduk dewasa telah daftar dalam PICK menerusi aplikasi MySejahtera. Gambar hiasan.
Proses vaksinasi Covid-19 di Labun capai kemuncaknya dengan 82 peratus penduduk dewasa telah daftar dalam PICK menerusi aplikasi MySejahtera. Gambar hiasan.

Mengikut PPN, negara boleh beralih ke fasa kedua dengan aktiviti ekonomi dibuka secara berperingkat dan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis jika purata kes harian Covid-19 susut di bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di ICU pulih ke paras sederhana di samping 10 peratus populasi telah menerima dua dos suntikan vaksin.

Berdasarkan laporan harian bagi tempoh setakat tengah hari Sabtu, Malaysia merekodkan 5,803 kes baharu -- melebihi paras 5,000 bagi empat hari berturut-turut -- dengan 81 kes kematian baharu, menjadikan angka keseluruhan kes positif sebanyak 728,462 dengan 4,884 kematian.

Data itu sekali gus meleburkan harapan banyak pihak terutama kalangan pengilang untuk menyambung operasi mereka yang sepatutnya selepas 28 Jun 2021, yang merupakan akhir PKP menyeluruh.

Kluster Tempat Kerja Tidak Reda

Pengarah Program dari Iman Research, Badrul Hisham Ismail dan Pengarah Komunikasi, Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (REFSA), Raja Ahmad Iskandar Fareez mengakui PKP menyeluruh ini mungkin dilanjutkan untuk dua minggu lagi.

Mereka berkata, walaupun PKP menyeluruh dilaksanakan, kluster tempat kerja masih tidak menunjukkan tanda-tanda berkurangan, menjadikan lebih 65 peratus kes yang dilaporkan sejak 1 Jun.

“Peningkatan semula jangkitan di United Kingdom disebabkan varian baharu juga menunjukkan sesebuah negara tidak dapat memberi jaminan yang ia akan membuka semula sektor ekonomi dan sosial hanya dengan semata-mata pemberian vaksin kepada majoriti penduduknya.

“Satu strategi keluar alternatif sangat-sangat diperlukan,” kata mereka.

Adakah SOP Sedia Ada Mencukupi?

Para penyelidik itu berkata faktor-faktor yang menyumbang kepada kluster tempat kerja harus ditangani.

Selain isu penguatkuasaan, kerajaan perlu menilai sama ada SOP sedia ada mencukupi untuk mencegah sebarang peningkatan jangkitan daripada kes berpotensi kerana ia akan membahayakan nyawa pekerja dan mengganggu operasi, kata mereka.

Bagi menggalakkan pematuhan SOP, kerajaan harus membantu majikan menyediakan ruang kerja dan tempat tinggal ‘kalis penularan pandemik’ menerusi sokongan kewangan.

“Berbanding kapasiti sebarangan bagi tempat kerja yang dianggap sesuai untuk semua, SOP perlu berasaskan sains dan dinamik, dikemas kini dari semasa ke semasa dengan mendapatkkan input daripada peserta industri, pihak berkepentingan lain dan juga data daripada lapangan.

“Kita juga mesti melangkah lebih jauh kerana penemuan saintifik menunjukkan virus itu merebak melalui udara, justeru, kerajaan perlu menumpukan usaha mengemaskinikan SOP sedia ada untuk memastikan premis perniagaan menambah baik kualiti udara dalam bangunan bagi mencegah jangkitan,” kata mereka.

Mereka juga berpandangan pemberian insentif melalui pemotongan atau subsidi cukai yang berkaitan, pemasangan sensor dan sistem pengudaraan yang sesuai di tempat kerja adalah tindakan yang paling sesuai dilaksanakan.

“Penggunaan teknologi pintar juga wajar digalakkan seperti pintu automatik, lampu sensor atau teknologi tanpa sentuhan lain untuk suis dan pemegang.

“Ini dapat mengurangkan jumlah titik sentuhan yang tinggi seterusnya mencegah penyebaran virus menerusi tangan ke tangan,” kata mereka.

Selain itu, mereka berkata sistem penggiliran kerja -- satu minggu di pejabat dan satu minggu di rumah, atau waktu bekerja lebih fleksibel atau syif -- boleh diperkenalkan untuk mencegah kesesakan di tempat kerja.

Bagi tujuan yang sama, waktu operasi pengangkutan awam dan kawasan awam perlu dilanjutkan, kata mereka.

Ketatkan Lagi Penguatkuasaan

Pensyarah Kanan Universiti Malaya Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kerajaan mempunyai pelan yang baik namun ada ruang yang boleh diperbaiki di peringkat pelaksanaan.

“Kita lihat berlaku pertindihan dalam bidang kuasa, ia mewujudkan kekeliruan bukan sahaja kepada pemegang taruh di sektor ekonomi malah turut mengelirukan rakyat.

“Sekiranya sektor ekonomi dibuka secara berperingkat kepada semua sektor saya khuatir keadaan akan bertambah teruk menerusi kluster perkilangan,” katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan supaya mengambil tindakan lebih tegas terhadap individu yang melanggar SOP.

Bukan sekadar dikenakan kompaun, malah individu tersebut harus didedahkan kepada media sebagai pengajaran kepada orang lain untuk lebih berwaspada sekiranya melanggar SOP, katanya.

“Rakyat tidak lagi boleh bersabar dengan tingkah laku sebilangan individu yang melanggar SOP dengan mudah dan membayar kompaun sahaja. Bagi pendapat saya, jika kita benar-benar ingin mengurangkan kes harian Covid-19, kita perlu tegas dan mewujudkan mekanisme yang mampu menangani situasi tidak menentu hari ini.

“Selain itu, kerajaan perlu mempercepat pelaksanaan program vaksinasi dalam sektor ekonomi terutama sektor perkilangan,” katanya.

Covid-19 Sebagai Penyakit Endemik

Malaysia telah menetapkan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok menerusi suntikan vaksin kepada 80 peratus penduduknya atau 26.7 juta daripada jumlah keseluruhan penduduk 33 juta.

Wujud konsensus meluas dalam kalangan saintis dan pakar kesihatan awam bahawa nilai ambang imuniti kelompok tidak dapat dicapai, sekurang-kurangnya dalam jangka terdekat ini.

Mereka membuat kesimpulan, daripada menjanjikan jalan keluar yang panjang bagi masalah pandemik Covid-19, virus itu sebaliknya dijangka menjadi ancaman boleh diuruskan yang akan terus berada dalam masyarakat di negara ini bagi tahun-tahun akan datang. - Bernama