Lelaki mabuk rosakkan bas sebelum serang pemandu

Cermin pintu bas yang dipecahkan oleh suspek dalam kejadian di Port Dickson pada Jumaat.
Cermin pintu bas yang dipecahkan oleh suspek dalam kejadian di Port Dickson pada Jumaat.
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang lelaki yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol ditahan berikutan melakukan perbuatan khianat awam dan merosakkan harta milik sebuah syarikat dalam kejadian pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohammed berkata, dalam kejadian jam 8.30 malam itu, suspek yang datang secara tiba-tiba telah memecahkan cermin pintu bas sebelah kiri, sebelum bertindak menyerang pemandu bas mengunakan parang.

Katanya, semasa kejadian bas tersebut sedang berhenti di tepi pondok hentian bas, berhadapan Klinik Kesihatan Port Dickson.

"Semasa kejadian, suspek telah parkir motosikalnya di hadapan bas dan bertindak mengambil sebilah parang yang berada di dalam bakul motosikalnya, lalu bertindak memecahkan cermin pintu bas, serta cuba untuk mencederakan pengadu sehingga berlaku pergelutan antara mereka.

"Semasa pergelutan, pengadu berjaya merampas parang daripada suspek dan suspek telah terduduk di tempat duduk penumpang bas.

"Pengadu mengalami kecederaan luka jari tangan dan di bahagian pipi, manakala kerosakan pada bas adalah cermin pintu bas pecah, dengan anggaran kerugian lebih kurang RM1,000," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Senjata yang digunakan suspek untuk menyerang pemandu bas dalam kejadian di Port Dickson pada Jumaat.
Senjata yang digunakan suspek untuk menyerang pemandu bas dalam kejadian di Port Dickson pada Jumaat.

Pemandu bas tersebut merupakan seorang pesara askar dan mempunyai pengalaman dalam Tempur Tanpa Senjata (TTS) yang membolehkannya menundukkan suspek.

Artikel Berkaitan:

Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Port Dickson untuk diserahkan kepada pihak polis.

"Hasil semakan dapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing adalah negatif.

"Punca kejadian masih belum diketahui dan semasa kejadian suspek berada di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 29 Jun ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan menggunakan senjata dan Sek 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan Khianat terhadap harta awam.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga lima hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.