Polis siasat kes pukul pelatih tentera di Port Dickson

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PORT DICKSON - Polis sedang menyiasat dakwaan berlakunya kes pukul melibatkan pelatih tentera darat sebuah kem tentera di sini seperti yang tersebar di media sosial pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, hantaran berkenaan dikesan dimuat naik oleh pemilik Facebook Maya Rose kira-kira jam 3.10 petang.

"Polis telah menerima satu laporan berkaitan perkara tersebut pada 22 April kira-kira 8.23 malam dan siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 17 April kira-kira jam 10 pagi di sebuah kem latihan tentera di Port Dickson.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Pihak polis masih meneruskan siasatan untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang awam supaya tidak menularkan kes tersebut yang boleh mengganggu siasatan dan menimbulkan kekeliruan atau spekulasi negatif.

Katanya, perbuatan penyebaran tidak bertanggungjawab sedemikian adalah menjadi satu kesalahan mengikut seksyen 233 Akta komunikasi dan Multimedia 1998. - Bernama