Jangan jual LTSAAS, pertahan hak rakyat

LTSAAS menjadi antara tujuh daripada 39 buah lapangan terbang kendalian MAHB yang menjana keuntungan tinggi. - Foto 123RF
LTSAAS menjadi antara tujuh daripada 39 buah lapangan terbang kendalian MAHB yang menjana keuntungan tinggi. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Berhad Semenanjung (Kesma) menentang penswastaan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS) daripada rangkaian Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) adalah sangat wajar.

Wakil Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sharan Raj berkata, tindakan piket pekerja LTSAAS menentang hasrat penswastaan dan mengeluarkan (carve-out) lapangan yang beroperasi pada tahun 1965 itu sebagai satu tindakan tepat dalam mempertahankan aset negara itu daripada 'dijual'.

Beliau yang juga Setiausaha PSM Melaka berkata, tindakan piket itu juga sebagai tindak balas kepada pengumuman oleh Kesma untuk mengadakan tunjuk perasaan di seluruh negara terhadap cadangan pengambilalihan LTSAAS.

"Keputusan Kesma untuk memprotes penjualan Lapangan Terbang Subang milik awam kepada kapitalis swasta disambut baik kerana mempertahankan hak-hak rakyat khususnya rakyat Malaysia Timur," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Difahamkan Subang Skypark Sdn Bhd (Subang Skypark) yang dimiliki sepenuhnya oleh WCT Holdings Bhd (WCT Holdings) menghantar cadangan konsesi baharu yang akan berakhir pada 2092.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan WCT Holdings, Desmond Lim Siew Choon merupakan taikun perniagaan dan pemaju gedung beli-belah Pavillion di Kuala Lumpur.

Selain itu, Subang Skypark dilaporkan turut menghantar cadangan kepada Kementerian Pengangkutan untuk mengambil alih keseluruhan lapangan terbang itu dan memajukan tanah di sekitarnya.

Laporan itu mendakwa Subang Skypark membayangkan lapangan terbang tersebut akan memberikan fokus terhadap 'penumpang perniagaan premium', seterusnya berupaya menarik pasaran berbeza daripada penumpang Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tiada perancangan jual LTSAAS

Jangan swasta, keluarkan LTSAAS dari Malaysia Airports

Artikel Berkaitan:

Sharan Raj berkata, WCT Holding tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pelancong jet peribadi dan 'merebut' jumlah penumpang besar yang dikendalikan oleh lapangan terbang lain seperti KLIA dan KLIA2 bagi melunaskan hutang yang besar serta memperoleh keuntungan.

Jelasnya, MAHB menggunakan pendapatan yang dijana dari aktiviti komersial KLIA dan KLIA2 untuk 'memberi subsidi silang' penyelenggaraan kepada 18 Pelabuhan Pendaratan dan Pendaratan Pendek (Stolports).

Tegasnya, penurunan pendapatan daripada dua buah lapangan antarabangsa itu dan kehilangan pendapatan di LTSAAS akan menyebabkan penyelenggaraan 18 buah pelabuhan pendaratan tersebut bertukar menjadi teruk.

Katanya, Stolports satu-satunya laluan terbaik serta murah untuk membawa barang, makanan, kakitangan perubatan, pendidikan serta surat khabar ke daerah luar bandar di Pantai Timur negara.

Katanya lagi, sambungan udara melalui Stolports adalah sebahagian daripada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) yang merupakan salah satu tuntutan yang disertakan oleh Sabah dan Sarawak semasa rundingan untuk membentuk Malaysia pada 1963.

"Penjualan LTSAAS kepada kapitalis swasta akan mendedahkan MAHB kepada persaingan yang berorientasikan keuntungan, selain dilihat boleh membawa kesan negatif kepada masyarakat terutama kepada masyarakat pantai Timur dan wilayah Borneo," katanya.