Fadhlina ziarah kediaman isteri Allahyarham Nik Abdul Aziz

Tangkap layar ciapan Twitter Fadhlina pada Ahad
Tangkap layar ciapan Twitter Fadhlina pada Ahad
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meluangkan masa menziarahi kediaman keluarga pemimpin ulama, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka.

Perkara itu dikongsikan oleh Fadlina menerusi ciapan di akaun Twitter rasminya pada Sabtu.

Selain itu beliau berkata, anak lelaki bekas Menteri Besar Kelantan yang juga bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut membawanya melawat kawasan Maahad Tahfiz dan Pengajian Al-Quran Nikmatillah, Pulau Melaka, Kota Bharu.

“Berkesempatan ziarah ke rumah Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak di Pulau Melaka.

“Kemudian, anakanda beliau, Ustaz Nik Mohamad Abduh membawa saya melawat Maahad Tahfiz dan Pengajian Al-Quran Nikmatillah,” katanya dalam ciapan Twitter pada Sabtu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu, Pas menggugurkan Nik Mohamad Abduh sebagai calon parti itu dan kerusi yang ditandingi sebelum ini diberikan kepada Muhamad Shahir Che Sulaiman.

Nik Mohamad Abduh dan Nik Omar sebelum ini dilihat tidak 'sekepala' susulan kedua-duanya memilih haluan politik berbeza.

Pada 12 Mei lalu, dua keping gambar memaparkan Nik Mohamad Abduh 'duduk' bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tular di media sosial pada Jumaat.

Turut dilihat hadir dalam 'perjumpaan' itu abang kepada Nik Mohamad Abduh iaitu Nik Omar, penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin serta Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pelbagai spekulasi juga turut tercetus susulan tularnya gambar Nik Mohamad Abduh bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) tersebut.