Pelan Pemulihan Negara satu pelan kitar semula: Pemuda PH

Kenyataan Majlis Pimpinan Pemuda Pakatan Harapan
Kenyataan Majlis Pimpinan Pemuda Pakatan Harapan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa dilihat satu pelan kitar semula yang tidak merangkumi sebarang tindakan baru untuk memulihkan negara daripada wabak pandemik Covid-19.

Majlis Pimpinan Pemuda Pakatan Harapan dalam satu kenyataan berkata, pelan itu hanya gah pada nama, namun tidak mempunyai satu perancangan yang holistik untuk membawa negara keluar daripada masalah pandemik tersebut yang mana banyak kepincangan dalam pelan yang dirangka itu.

Menurutnya, pembahagian Pelan Pemulihan Negara kepada empat fasa hanyalah satu penjenamaan semula terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak setahun yang lalu.

"Tiada langsung satu nilai tambah terhadap pelaksanaan pelan pemulihan secara berfasa ini dan prosedur operasi standard (SOP) PKP yang tidak jelas masih lagi menghantui rakyat.

"Pelbagai pengecualian diberikan kepada sektor ekonomi tidak memberi natijah yang baik terhadap pengawalan wabak Covid-19.

"Pelan ini juga nampaknya hanya memberi fokus kepada sektor ekonomi dan langsung tidak menyentuh kepada sektor pendidikan dan juga sektor lain yang terkesan teruk akibat impak pandemik," katanya.

Tambah kenyataan tersebut, sebagai contoh, kerajaan akan membenarkan 80 peratus kapasiti pekerja kepada sektor ekonomi pada fasa kedua, walhal sektor ekonomi menjadi penyumbang terbesar kepada kenaikan angka kes harian.

Jelasnya, isu kebajikan rakyat dan bagaimana cara untuk meringankan beban rakyat langsung tidak diberi perhatian.

Artikel Berkaitan:

"Tiada sebarang inisiatif ataupun bantuan tambahan disentuh oleh kerajaan dalam pelan itu.

"Perancangan kerajaan terhadap program vaksinasi juga tidak disebut dengan jelas dalam Pelan Pemulihan Negara.

"Ini bermakna, rakyat dijangka terus merana sehingga penghujung tahun 2021 berdasarkan syarat nilai ambang yang diletakkan oleh pihak kerajaan," katanya.

Tegas kenyataan itu, Perdana Menteri berulang-ulang kali menyatakan kerisauannya terhadap impak pandemik dan juga pelaksanaan 'lockdown' kepada ekonomi negara tanpa langsung menyatakan simpati dan kerisauan beliau terhadap kadar kematian yang kian meningkat sejak kebelakangan ini.

"Di kala Perdana Menteri menyatakan kebanggaannya terhadap ‘penurunan’ kadar kes kepada angka 4,000 dengan pelaksanaan 'total lockdown', kes harian telah pun mencatat kenaikan semula dan juga angka kematian mencecah 100 sehari.

"Apakah nyawa rakyat sudah lagi tidak ada nilai pada mata penilaian Perdana Menteri?" soalnya.