X

Kindly register in order to view this article
!

Usahawan kosmetik kontroversi pukul anak kerana status WhatsApp

Seorang usahawan kosmetik didakwa memukul anak perempuannya berusia 16 tahun sehingga lebam beberapa anggota badan.
A
A

PASIR MAS - Seorang usahawan kosmetik kontroversi didakwa memukul anak perempuannya yang berusia 16 tahun selepas berang berhubung status di aplikasi WhatsApp, dalam kejadian di Kampung Pauh di sini, pada Selasa.

Status itu didakwa mengungkit mengenai soal harta selain turut memarahi remaja berkenaan kerana tidak bekerja, difahamkan turut menjadi punca kepada insiden berkenaan.

Dalam kejadian pada jam 4.30 petang itu, remaja berkenaan dipercayai turut dipukul oleh bapa tirinya yang berusia 33 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kedua-dua suspek ditahan jam 9 malam pada Selasa bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

“Hasil pemeriksaan terhadap mangsa yang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu mendapati dia mengalami bengkak pada bahagian kiri kepala, luka pada bahagian dalam pipi dan lebam beberapa anggota badan.

"Siasatan mendapati, mangsa yang sudah berkahwin tinggal bersama ibu, bapa tiri dan suaminya di rumah tersebut,” katanya.

Menurut beliau lagi, siasatan awal mendapati, sebelum kejadian berlaku, mangsa dipanggil oleh ibunya yang berusia 33 tahun selepas tidak berpuas hati dengan status dimuat naik remaja berkenaan di aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, apabila keluar dari bilik, wanita berkenaan memarahi anaknya itu dan dia kemudian telah diheret oleh bapa tirinya sebelum menampar mangsa beberapa kali di pipi.

Mohd Nasaruddin berkata, selepas itu, wanita berkenaan memukul kepala anaknya menggunakan tangan dan cuba memukul mangsa dengan kayu hoki, namun dia sempat melarikan diri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!