MOTAC tawar fasiliti, aset sebagai PPV

Nancy Shukri
Nancy Shukri
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menawarkan fasiliti dan aset di bawahnya untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi mempercepatkan proses vaksinasi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beberapa lokasi telah dikenal pasti bagi tujuan itu.

"Ia termasuklah Kompleks Kraf, Kompleks Jabatan Kebudayaan, Kesenian Negeri (JKKN) dan Hotel Seri Malaysia yang berada di seluruh negara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, MOTAC juga telah bekerjasama dengan pihak Industri seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Persatuan Konvensyen dan Pameran Malaysia (MACEOS).

"Ini bagi tujuan penggunaan fasiliti hotel dan pusat konvensyen untuk dijadikan PPV," katanya.

Beliau berkata, MOTAC menyokong penuh usaha kerajaan dalam melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi mencapai sasaran 80 peratus populasi divaksin agar imuniti kelompok negara dapat direalisasikan.

"Sebagai permulaan, MOTAC akan memberikan keutamaan kepada subsektor yang sedang beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) yang dikategorikan sebagai 'tourism frontliners' menerusi Program Vaksinasi dan Sukarelawan MOTAC," katanya.

Nancy berkata, bagi menjayakan program ini, MOTAC telah mencadangkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) agar pemberian suntikan vaksin dilaksanakan secara berfasa.

Artikel Berkaitan:

"Ia bermula dengan 30,530 tenaga kerja yang melibatkan beberapa subsektor perkhidmatan pelancongan yang dibenarkan beroperasi," katanya.

Tegasnya, perkara itu penting kerana tenaga kerja dalam sektor pelancongan perlu bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia untuk mempunyai daya ketahanan diri melawan virus Covid-19.

"MOTAC juga berharap aktiviti pelancongan domestik dapat kembali rancak semula selepas kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan aktiviti pergerakan rentas negeri yang dijangka dapat dibuka pada November dalam fasa keempat Pelan Pemulihan Negara," katanya.