X

Kindly register in order to view this article
!

Pharmaniaga serah 12 juta dos vaksin Sinovac bulan depan

Pharmaniaga akan membekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan Persekutuan pada bulan depan. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Pharmaniaga Bhd dijangka melengkapkan obligasi kontraknya dalam membekalkan 12 juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan Persekutuan pada bulan depan yang mencukupi untuk diberikan kepada kira-kira 18 peratus penduduk Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, vaksin itu telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan pengiktirafan itu mendorong keyakinan dalam perjuangan untuk memerangi pandemik.

“Kami optimis ke atas unjuran kumpulan pada tahun ini dan berharap prestasi tahun kewangan 2021 yang lebih baik dengan peningkatan berterusan bekalan vaksin Sinovac.

“Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan China baru-baru ini memberikan kelulusan segera kepada vaksin Covid-19 Sinovac untuk diberikan kepada kanak-kanak berusia tiga hingga 17 tahun dan penghasilan dua dos untuk setiap botol sebelum menyerahkannya kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk proses variasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena mesyuarat agung tahunan ke-23 dan mesyuarat agung luar biasa kumpulan itu yang dijalankan secara penstriman langsung pada Rabu.

Menurut Zulkarnain, Pharmaniaga akan menyerahkan dokumen yang berkaitan kepada NPRA untuk proses variasi kelak.

Katanya, selepas menerima kelulusan daripada agensi berkenaan, syarikat itu boleh meningkatkan kapasitinya daripada dua juta kepada empat juta dos sebulan.

Sebagai sebahagian daripada rancangan kemampanan jangka panjang syarikat, Zulkarnain berkata, kumpulan itu berhasrat mempercepatkan pertumbuhan perniagaan pembuatan vaksin halalnya.

“Rancangan kami untuk mewujudkan kemudahan vaksin halal yang pertama di dunia mencatatkan perkembangan yang lancar dengan bekerjasama rapat bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Halal Development Corp Bhd.

“Projek vaksin halal telah dipilih sebagai inisiatif peneraju untuk dasar ini dan untuk tujuan pembangunan insentif,” katanya.

Kemudahan halal itu disasarkan mula beroperasi pada tahun 2024 di samping mewujudkan aliran pendapatan baharu kepada kumpulan, kata Zulkarnain sambil memaklumkan bahawa inisiatif itu akan memberikan pelbagai faedah limpahan positif termasuk meningkatkan persediaan pandemik negara bagi membina rantaian bekalan vaksin yang mampan.

Selain itu, beliau berkata, kumpulan itu menyasarkan untuk memberi peluang meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan dan menambah akses terhadap vaksin mampu milik di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Langkah ini seterusnya akan menempatkan Malaysia sebagai pengeluar vaksin global, kata Zulkarnain.

Boustead Holdings Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera masing-masing memegang 55.93 peratus dan 11.23 peratus kepentingan dalam Pharmaniaga.

Pada rehat tengah hari Rabu, saham syarikat farmaseutikal itu melonjak 7.36 peratus kepada RM5.54 dengan 5.25 juta saham diniagakan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!