Fungsi Mageran dan MKN sama ketika darurat

Dr Shamrahayu Abdul Aziz
Dr Shamrahayu Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan darurat di negara ini pada masa ini adalah berbeza dengan darurat yang diisytiharkan pada tahun 1969.

Pakar perlembagaan, Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata, darurat kali ini berkaitan penyebaran Covid-19, manakala darurat pada tahun 1969 ialah darurat antara kaum dan hubungan etnik yang tegang.

Bagaimanapun, katanya, mekanisme penubuhan majlis seperti Majlis Gerakan Rakyat atau Mageran pada tahun 1969 dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempunyai fungsi yang sama ketika darurat.

"Mekanisme itu boleh digunakan bersesuaian dengan keadaan. Sebabnya ialah apabila fungsi suatu penubuhan atau majlis yang dinamakan Mageran, ia dikaitkan dengan (darurat) 1969 sahaja.

"Tetapi sebenarnya ia boleh dikaitkan dengan situasi semasa dan ia tidak perlu nama Mageran. Contoh sekarang kita ada MKN berfungsi seumpama Mageran," katanya ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian siri ke-265 bertajuk ‘Mageran: Jalan Keluar Pulih Krisis Negara?' yang disiarkan secara langsung menerusi dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Wacana turut menampilkan Ahli Parlimen Sik yang juga penganalisis keselamatan, Ahmad Tarmizi Sulaiman serta Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

ARTIKEL BERKAITAN: Mageran seperti ada kerajaan dalam kerajaan: Hassan

Sementara itu, Shamrahayu berkata, darurat dalam konteks kini memfokuskan kepada pendekatan menyekat penularan pandemik Covid-19, serta melihat dan membuat peraturan yang berkaitan dengan pandemik tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya nampak mungkin istilah atau (cadangan menubuhkan satu majlis dengan) nama Mageran itu membuat masyarakat terasa seperti kita sekarang menangani masalah seperti tahun 1969.

"Sebenarnya pokok pangkalnya sebab kenapa kita mengisytiharkan darurat dan (cadangan penubuhan) majlis seperti ini (adalah) bagi menangani situasi pada ketika ini.

"Jadi pada saya, fomula itu mungkin boleh terpakai. Namanya mungkin tak perlu Mageran. Saya dengar juga Tun Dr Mahathir Mohamad menyebut (penubuhan) badan seperti Mageran dan tidak semestinya Mageran," katanya.