X

Kindly register in order to view this article
!

Mageran seperti ada kerajaan dalam kerajaan: Hassan

Hassan Abdul Karim
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan Majlis Gerakan Rakyat (Mageran) akan menjadikan sistem pemerintahan negara seperti ada kerajaan di dalam kerajaan dan ini satu perkara yang tidak baik.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim sehubungan itu tidak bersetuju dengan idea pembentukan Mageran mahu diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Yang kedua, kalau hendak bawa semula Mageran atau apa nama pun bentuk Mageran 1969 itu saya melihat ini sebenarnya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Harian Siri ke-265 bertajuk ‘Mageran: Jalan keluar pulih krisis negara?' disiarkan menerusi dalam talian di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Wacana turut menampilkan Pakar Perlembagaan, Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz dan penganalisis keselamatan dan Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman juga sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Hassan menggesa sistem kerajaan sivil ini diteruskan kerana penubuhan Mageran bahaya dan boleh menjadi satu kuasa diktator, namun menyifatkan kerajaan yang ada sekarang gagal.

"Kesimpulannya Mageran ini bercanggah dengan Perlembagaan dan kerajaan awam (sivil) ini mesti dikekalkan tetapi kerajaan awam (sivil) yang ada sekarang ini gagal," katanya.

Justeru, beliau berkata, jalan penyelesaiannya bukan membentuk Mageran tetapi menubuhkan kerajaan awam (sivil) yang baharu dan balik semula ke Parlimen.

"Kalau tidak kita akan sesat selamanya dan tajuk malam ini mencari jalan keluar pulih krisis ekonomi dan yang ketiga, ada yang sudah sesat dah sekarang ini.

"Saya nasihatkan kalau sesat di hujung jalan balik semula ke pangkal jalan dan penubuhan Mageran ini sesuatu yang bertentangan dengan prinsip demokrasi," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!