X

Kindly register in order to view this article
!

Perak percepat pemberian vaksin kepada guru

Ahmad Saidi ditemui pemberita di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau, Padang Rengas pada Isnin.
A
A

PADANG RENGAS - Golongan guru di Perak akan diberikan keutamaan sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19 dalam tempoh terdekat ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, jaminan itu diberikan sekiranya bekalan vaksin yang diterima dalam tempoh satu ke dua minggu ini mengikut jumlah sebenar.

"Kita akui giliran itu agak lewat. Saya telah bangkitkan isu ini semasa Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak pada minggu lalu supaya dipercepatkan proses vaksinasi kepada guru dan kumpulan pendidik di negeri ini.

"Kerajaan negeri dan Menteri Besar (Datuk Saarani Mohamad) telah memberikan satu bentuk jaminan iaitu sekiranya vaksin yang sepatutnya kita terima pada minggu ini atau minggu hadapan dalam jumlah sebenar, golongan guru dan pendidik akan diutamakan," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Ahmad Saidi sebelum itu hadir menyerahkan 150 telefon pintar di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau di sini untuk diedarkan kepada pelajar B40 di kawasan tersebut.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lubok Merbau, Dr Jurij Jalaludin.

Sementara itu, Ahmad Saidi berkata, proses pemberian vaksin kepada guru perlu disegerakan bagi memudahkan tenaga pengajar dan sekolah sekiranya sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka dilaksanakan kelak.

"Di Perak terdapat lebih 40,000 guru. Saya dimaklumkan hampir sebahagiannya sudah divaksin.

"Apabila semua guru menerima vaksin, sudah pasti ibu bapa rasa selamat dan sekiranya PdP secara bersemuka di dalam kelas berlaku, ia akan beri kelegaan kepada mereka untuk hantar anak-anak bersekolah," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!