Julea Qiestyna dicadang diangkat ikon pengajian tinggi Perak

Khairudin (dua dari kanan) bersama Julea Qiestyna (tengah) sempena kunjungan rasmi ke UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar pada Selasa.
Khairudin (dua dari kanan) bersama Julea Qiestyna (tengah) sempena kunjungan rasmi ke UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar pada Selasa.
A
A
A

PARIT - [DIKEMASKINI] Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Julea Qiestyna Abu Zar yang mengharumkan nama negara selepas memperoleh markah kedua tertinggi dunia bagi peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), sesi Mac lalu akan diangkat sebagai ikon pengajian tinggi Perak.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, perkara itu akan dibawa dan dibincangkan oleh kerajaan negeri agar dapat dijadikan motivasi kepada pelajar lain.

Menurutnya, kejayaan dilakar penuntut Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah itu adalah suatu membanggakan dan perlu dikongsi kepada masyarakat umum.

"Memang dalam perancangan kerajaan negeri untuk mengangkat adik Julea (Julea Qiestyna) sebagai ikon pengajian tinggi negeri ini.

"Kita akan berbincang supaya proses mengangkat ikon ini dapat direalisasikan. Pencapaian ini perlu diuar-uarkan kepada masyarakat membuktikan tiada yang mustahil jika ada daya usaha dan komitmen tinggi untuk mencapai apa yang diharapkan," katanya.

Beliau berkata demikian sempena kunjungan rasmi ke UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar, di sini pada Selasa yang turut dihadiri Rektor UiTM Cawangan Perak, Profesor Madya Dr Nur Hisham Ibrahim.

Pada pertemuan itu, Khairudin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja turut menyampaikan inisiatif daripada kerajaan negeri kepada Julea Qiestyna.

Dalam peperiksaan itu, Julea Qiestyna, 19, memperoleh 98 daripada 100 markah yang peruntukkan di dalam peperiksaan tersebut.

Beliau ketika ditemui merancang untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan perakaunan sebaik tamat Program Asasi Perakaunan di UiTM nanti.

Anak sulung daripada empat beradik kelahiran Kulai, Johor itu berkata, menjadi impian dirinya untuk menjadi seorang akauntan sehingga sanggup menukar bidang daripada sains tulen sewaktu peringkat sekolah menengah kepada perakaunan.

"Saya memilih menukar bidang atas kemahuan sendiri dan ibu bapa merestui hal itu.

"Tiada perkara luar biasa saya lakukan selain fokus di dalam kelas dan membahagikan masa untuk bersukan bersama rakan-rakan," katanya.

Sementara itu, Dr Nur Hisham berkata, Julea Qiestyna merupakan seorang daripada 55 penuntut kumpulan pertama bagi Program Asasi Perakaun (SCCA FIA) yang baru sahaja ditawarkan di UiTM Kampus Tapah.

Pihaknya merancang menambah pengambilan pelajar dalam usaha melahirkan lebih ramai penuntut berjaya seperti dicapai ketika ini.

"Kejayaan Julea Qiestyna secara tidak langsung membantu ketampakan UiTM dalam penawaran program profesional di Malaysia," katanya.