PRN : Wakil BN, PH akan putuskan dalam masa terdekat - Anwar

Anwar ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia pada Ahad.
Anwar ketika sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia pada Ahad.
A
A
A
KUALA LUMPUR - [KEMAS KINI] Wakil Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan memutuskan beberapa perkara melibatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dalam masa yang terdekat, kata Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, antara perkara yang akan diputuskan itu melibatkan pembahagian kerusi, calon dan strategi bagi kempen PRN tersebut.

Menurut Anwar, pimpinan parti lain yang tidak bertanding dalam PRN akan datang itu akan terus memberi sokongan sebagai tanda kesepaduan dan kerjasama kepada Kerajaan Perpaduan.

"Rundingan ini diteruskan dan dalam masa singkat mungkin wakil PH dan BN akan memutuskan beberapa perkara (melibatkan) pembahagian kerusi, calon dan strategi kempen.

"Walaupun ia (PRN) banyak melibatkan BN dan PH, tetapi kita akan juga parti-parti yang ada cawangan dan pergerakan di Semenanjung.

"Pimpinan parti lain yang tidak bertanding akan terus memberikan kerjasama dan sokongan untuk menunjukkan kesepaduan dan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia pada Ahad.

Pada Ahad, Anwar dilihat tiba di lobi Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia pada jam 8.02 malam.

Beberapa pimpinan utama parti komponen turut tiba di WTC bagi menghadiri mesyuarat tersebut.

Dalam pada itu, ulas Anwar, perkara lain yang dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah soal Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang akan berlangsung pada 14 Mei ini.

"Tumpuan perbincangan itu adalah menilai keberkesanan dan meneruskan beberapa program yang lebih berkesan dari semangat inklusif bagi semua kaum dan wilayah dengan tunduk kepada prinsip perlembagaan yang telah disepakati.

"Konvensyen Nasional Wanita akan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan

Konvensyen Nasional Pemuda akan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

"Sebelah petangnya ketua-ketua parti akan berucap awal kemudian ditutup oleh saya sendiri, insya-ALLAH," ulasnya.