Kelantan letak dua PKRC dalam keadaan 'sedia'

Dr Mohd Zurairee (kiri) turun padang meninjau gerak kerja petugas kesihatan di PKRC Kampus USM Kubang Kerian yang kini lengang selepas Covid-19 di Kelantan menunjukkan sedikit penurunan ketika ini.
Dr Mohd Zurairee (kiri) turun padang meninjau gerak kerja petugas kesihatan di PKRC Kampus USM Kubang Kerian yang kini lengang selepas Covid-19 di Kelantan menunjukkan sedikit penurunan ketika ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua buah Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Salor dan Kampung Laut (Tumpat) berada dalam keadaan 'sedia' meskipun jangkitan wabak itu di negeri Che Siti Wan Kembang menunjukkan sedikit penurunan ketika ini.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Zurairee Mohd Zubir berkata, langkah itu merupakan salah satu usaha kesiapsiagaan pihaknya untuk berdepan sebarang kemungkinan peningkatan jangkitan pada masa akan datang.

"Untuk makluman, kita telah 'bekukan' pengambilan pesakit di kedua-dua PKRC itu bermula hari ini susulan penyusutan kes jangkitan Covid-19 ketika ini," katanya semasa turun padang meninjau gerak kerja petugas kesihatan di PKRC Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini pada Isnin.

Menurutnya, kesemua pesakit dari dua lokasi itu sudah ditempatkan di PKRC Tanjong Chat untuk mendapat rawatan lanjut.

Beliau berkata, petugas di PKRC Salor dan Kampung Laut akan ditugaskan ke kawasan-kawasan yang memerlukan dalam memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.

Katanya, keputusan itu dibuat hasil perbincangan yang dilakukan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).

Dr Mohd Zurairee berkata, pada masa yang sama pihaknya sedang mengenal pasti tiga PKRC yang akan diletakkan sebagai lokasi utama untuk merawat pesakit.

Katanya, tiga PKRC itu ialah Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Gelanggang Seni dan Tanjong Chat yang menjadi lokasi terakhir untuk ditutup sekiranya jangkitan Covid-19 di negeri ini terkawal dan pulih sepenuhnya pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, tindakan itu akan berkuat kuasa sekiranya mendapat arahan daripada pucuk kepimpinan tertinggi JKNK," katanya.