Tahap pematuhan SOP warga KL meningkat

AZMI
AZMI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) fasa pertama Sekatan Pergerakan Penuh di ibu negara mencatatkan peningkatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, jumlah kompaun yang dikeluarkan kerana melanggar SOP juga menunjukkan pengurangan sehingga 50 peratus berbanding sebelum ini.

"Saya tak boleh kata berpuas hati, kalau berpuas hati maksudnya tiada lagi kompaun dikeluarkan.

"Bagaimanapun kadar pematuhan sekarang semakin baik dan patuh. Sebelum ini sebanyak 250 hingga 300 kompaun dikeluarkan sehari namun sekarang menurun sehingga 50 peratus dan Ini satu perkembangan yang baik," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Jumaat.

Beliau berkata, pemantauan pihaknya turut mendapati warga Kuala Lumpur kekal duduk di rumah kecuali membabitkan hal-hal kecemasan dan pergerakan yang mendapat kebenaran pihak polis.

Jelasnya, mengenai pertambahan jumlah pergerakan kenderaan, kebanyakan daripada mereka mempunyai janjitemu suntikan vaksin Covid-19 memandangkan ketika ini pelbagai pihak seperti Kementerian Wilayah Persekutuan sedang memperhebatkan usaha pemberian vaksin kepada penduduk Kuala Lumpur.

" Kebanyakan Pusat pemberian vaksin (PPV) di ibu negara luas dan besar untuk tingkatkan pemberian vaksin seperti di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Axiata Arena dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Selain itu ada 53 premis yang diberi kebenaran untuk memberikan vaksin.

"Kementerian Wilayah Persekutuan turut membuat inisiatif pemberian vaksin di beberapa PPR, jadi saya lihat ini satu perkembangan positif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Azmi berkata, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau aktiviti perjudian dalam talian membabitkan pertandingan bola sepak Euro 2020 yang akan bermula pada Sabtu.