X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 20 Oktober 2021

Rohingya habiskan RM10,000 untuk masuk Malaysia

PATI warga Rohingya yang ditahan ketika memasuki perairan negara baru-baru ini.
A
A

PUTRAJAYA - Penyeludupan manusia melibatkan warga Rohingya boleh dikatakan sebagai penyeludupan diri yang direlakan kerana pelarian itu sanggup membayar wang hampir RM10,000 kepada sindiket untuk masuk ke Malaysia secara haram.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, bayaran itu dibuat sekurang-kurangnya dua kali iaitu bayaran pendahuluan di kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh dan bayaran akhir sebaik tiba di Malaysia.

Mohd Zubil
Mohd Zubil

“Saya difahamkan, untuk permulaan pembayaran adalah sekitar RM3,000. Apabila sampai, mereka perlu bayar sekitar RM5,000 atau bakinya.

“Bayaran ini tidak tetap. Tengok pada keadaan ketika itu. Jumlahnya saya boleh katakan adalah hampir RM10,000 untuk sampai ke Malaysia,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian.

Mohd Zubil menjelaskan, modus operandi itu terbongkar selepas Maritim menahan dalang perancang penyeludupan itu ketika pelaksanaan Ops Dalal pada awal tahun 2020.

Menurutnya, modus operandi itu melibatkan waris warga Rohingya yang sudah berada dalam negara dengan ejen kepada sindiket yang turut berada di Malaysia.

“Modus operandi sindiket cukup senang. Mereka yang berada di Malaysia iaitu waris-waris, akan beri nama kepada ejen siapa yang mahu dibawa masuk ke Malaysia.

Anggota APMM sentiasa bersedia dalam memastikan perairan negara tidak mudah dibolosi terutamanya sindiket penyeludupan warga Rohingya.
Anggota APMM sentiasa bersedia dalam memastikan perairan negara tidak mudah dibolosi terutamanya sindiket penyeludupan warga Rohingya.

“Ejen akan uruskan semuanya. Mereka yang kita siasat ini, iaitu mereka yang duduk di Cox’s Bazar dan sudah ada kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan di Cox’s Bazar.

“Di sana nanti, pihak sindiket akan membuat rundingan dengan individu yang sudah dikenal pasti untuk dibawa masuk ke Malaysia,” katanya.

Bagi pelarian yang tidak mempunyai keluarga di Malaysia, Mohd Zubil mendedahkan, pelarian di Cox’s Bazar akan didekati sindiket dan menawarkan perjalanan untuk masuk ke Malaysia.

Biasanya sindiket akan memujuk atau memaksa mereka menjual harta atau tanah untuk membayar kos penyeludupan.

Calon isteri dari Cox's Bazar

Beliau menambah, ada pelarian wanita yang masuk ke Malaysia semata-mata mahu berkahwin dengan pasangan yang telah ditetapkan oleh keluarga.

“Dalam tangkapan terakhir, terdapat sejumlah 15 anak dara yang berusia antara 17 hingga 18 tahun. Apabila kita bertanya ada saudara di sini atau tidak, mereka kata tidak ada.

“Rupa-rupanya mereka datang untuk berkahwin dengan calon suami yang sudah lama menetap di sini,” katanya.

Dalam pada itu Mohd Zubil menambah, setiap tangkapan yang dilakukan, Maritim tidak menemui sebarang wang tunai yang dibawa oleh warga Rohingya.

“Mereka datang ke sini tidak bawa duit. Kita sudah buat tangkapan dan tidak jumpa sebarang wang tunai. Transaksi berlaku melalui ejen di sini dan di Cox’s Bazar,” katanya.

Tegasnya, sindiket penyeludupan itu juga sudah meraih keuntungan berlipat kali ganda setiap kali berjaya membawa masuk warga Rohingya ke Malaysia.

“Saya tidak pasti berapa banyak yang mereka boleh buat duit daripada aktiviti haram ini. Tetapi cuba bayangkan, kalau satu orang ejen boleh bawa dalam satu perjalanan melibatkan RM8,000 hingga RM10,000 seoranga, bayangkan kalau dia ‘makan’ RM200 untuk satu kepala, berapa banyak dah dia boleh dapat,” katanya.

Mohd Zubil juga mendedahkan beliau tidak menolak penglibatan orang tempatan yang membantu menyeludup masuk warga Rohingya dari laut ke daratan terutamanya di utara Langkawi yang menjadi lokasi hotspot pendaratan.

“Mereka yang bertanggungjawab menguruskan semua urusan pemindahan melalui bot pada waktu malam semestinya orang tempatan yang tahu selok-belok di Langkawi,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kelulusan rentas negeri turun empat kali ganda

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan keliru status penduduk Bukit Malut


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!