5 pusat penjagaan, perlindungan kucing terbiar terima RM10,000

Ismail Sabri (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 dalam majlis Giving Back To Cat-Munity, di MITEC pada Ahad.
Ismail Sabri (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 dalam majlis Giving Back To Cat-Munity, di MITEC pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pengeluar baju raya kucing, DD Cat serta syarikat penjagaan haiwan, DD Petshop memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada lima pusat penjagaan dan perlindungan kucing terbiar di sekitar ibu kota.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam majlis Giving Back To Cat-Munity, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Ahad.

Ismail Sabri berkata, sumbangan itu bertujuan membantu memastikan kehidupan haiwan-haiwan peliharaan yang terbiar, khususnya kucing diberi perlindungan sewajarnya.

"Langkah ini harus dicontohi kerana ia mampu menangani masalah kucing terbiar dan membendung kes penderaan haiwan.

“Sejak akhir-akhir ini kita banyak mendengar kes penderaan haiwan khususnya melibatkan kucing.

Ismail Sabri (tengah) bersama Anna (kiri) sempat bergambar bersama kucing-kucing di majlis Giving Back To Cat-Munity.
Ismail Sabri (tengah) bersama Anna (kiri) sempat bergambar bersama kucing-kucing di majlis Giving Back To Cat-Munity.

"Program seperti ini secara tidak langsung memupuk rasa cinta kepada haiwan.

"Justeru, saya berharap semua pihak tidak mengabaikan tanggungjawab melindungi haiwan terbiar khususnya kucing,” katanya.

Turut hadir, duta jenama Baju Raya Kucing DD Cat, Anna Jobling dan Pengarah Eksekutif DD Petshop, Zaharudin Abd Hamid.

Menurut Ismail Sabri, lima pusat penjagaan dan perlindungan kucing tersebut melibatkan Katsumi Pet Care, Pusat Perlindungan Kucing Persatuan Suara Haiwan Malaysia dan Amanah Shelter, S.I Shelter, C-A-T Playground dan Abam Cats Home.

"Sumbangan kepada pusat penjagaan terbabit berupa wang tunai RM1,000 daripada jenama Baju Raya Kucing DD Cat dan RM1,000 berupa baucar makanan serta keperluan kucing daripada DD Petshop," ujarnya.

Ismail Sabri meluangkan masa bergambar bersama kanak-kanak yang hadir pada majlis tersebut.
Ismail Sabri meluangkan masa bergambar bersama kanak-kanak yang hadir pada majlis tersebut.

Jenama Baju Raya Kucing DD Cat telah dilancarkan pada 16 Mac lalu dan mendapat sambutan yang sangat luar biasa dan di luar jangkaan.

Koleksi bersempena Aidilfitri kali ini menampilkan empat jenis fesyen iaitu Baju Melayu Simba, Kurta Muezza, Baju Kurung Bella dan Baju Kebaya Luna.

Selain Malaysia, Baju Raya Kucing DD Cat turut menembusi pasaran Singapura, Brunei dan Indonesia.