Jangan keliru status penduduk Bukit Malut

ALOR SETAR - Tanggapan bahawa semua penduduk Bukit Malut di Langkawi adalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Myanmar perlu diperbetulkan kerana masyarakat keliru dengan status kewarganegaraan sebahagian besar penduduknya.
Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Dr Ibrahim Bakar berkata, persepsi orang ramai dan juga sesetengah media sebelum ini telah memberikan pandangan serong kepada penduduk yang tinggal di kawasan tersebut.
Menurutnya, Bukit Malut pada awalnya adalah kawasan hutan sebelum kerajaan memindahkan nelayan yang terdiri daripada pekerja pukat bilis ke kawasan tersebut kerana terdapat sebuah teluk di kawasan tersebut.
“Penduduk di situ adalah komuniti asal orang Melayu Kedah yang datang dari Myanmar pada tahun 1982. Suatu ketika dahulu, daerah mereka berada di bawah pemerintahan Kesultanan Kedah.