Jangan usik sensitiviti agama, kaum

A
A
A

SEJAK kebelakangan ini tular di pelbagai media sesetengah pihak yang berlindung di bawah prinsip hak asasi manusia dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan sehingga menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Kalangan ini begitu megah di media sosial membuat pelbagai kritikan tanpa memikirkan kesan kepada golongan yang dihina.

Ironinya apa yang diperhatikan apabila golongan tertentu yang mencuit sensitiviti kaum dan agama ini melakukan perkara sedemikian, amat sedikit tindakan yang diambil terhadap mereka berbanding dengan apabila ia dilakukan oleh golongan lain.

Lebih parah lagi pejuang-pejuang hak asasi manusia sangat senyap apabila golongan ini melaksanakan agenda mereka tetapi pantas mengherdik jika hal yang sama dilakukan golongan lain. Hakikatnya apabila kedudukan agama Islam dan orang Melayu difitnah dan diherdik mereka langsung tidak menyanggahnya. Namun sangat pantas memberi amaran kepada orang Islam/Melayu apabila tindakan rasis dan perkauman dilakukan oleh orang Islam/Melayu.

Walhal kedudukan istimewa agama Islam, orang Melayu dan Raja-Raja Melayu terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam sebuah negara majmuk didiami pelbagai kaum seharusnya semua rakyat dan orang yang tinggal di Malaysia menghormati antara satu sama lain. Mereka tidak boleh berselindung di bawah alasan hak asasi manusia mengambil kesempatan mencetuskan kontroversi dalam kalangan rakyat yang lain.

Pihak berwajib seharusnya mengambil tindakan tegas bagi membendung fenomena ini dengan melaksanakan undang-undang yang berkaitan agar ia menjadi penghalang kepada perkara yang tidak diingini.

Malaysia sudah pun berada di tangga kejayaan, dari sudut keharmonian kaum Malaysia menjadi contoh yang sangat baik kepada penduduk luar. Walaupun orang Melayu merupakan kaum majoriti di sekitar 60 peratus penduduk sahaja, namun ada negara lain yang mana majoriti penduduk lebih 90 peratus masih tidak mengecapi keamanan seperti Malaysia.

Resipi kejayaan ini harus dipertahan dan rakyat tidak mengambil mudah kejayaan ini. Jika hal yang demikian berleluasa, keharmonian kaum akan dikesampingkan dan keamanan negara mungkin akan dikompromi. Rakyat perlu menganjak minda daripada mementingkan hak peribadi kepada menjaga maslahah yang lebih besar lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam era rakyat lebih mementingkan hak berbanding tanggungjawab ini semua pihak perlu disedarkan mereka mesti berperanan menjadi pemangkin keamanan negara.

Keharmonian kaum ketika ini dilihat agak rapuh kerana acap kali sensitiviti kaum dan agama diusik oleh pelbagai kaum. Bukanlah saya mahu menuding jari kepada satu kaum sahaja kerana saya perhatikan semua kaum mempunyai pihak yang lantang mengkritik kaum lain tanpa mengambil kira sensitiviti kaum dan agama.

Namun kegusaran yang ditampilkan dalam kalangan orang Islam/Melayu ialah tindakan segera dan wajar tidak diambil apabila agama Islam dan orang Melayu dihina. Sifat saling hormat menghormati ini sudah mula terhakis dalam diri rakyat Malaysia dan dikhuatiri suatu masa nanti sifat ini langsung tiada dalam diri rakyat Malaysia kelak.

Islam bukanlah sekadar agama yang melaksanakan amalan atau rutin harian. Tetapi Islam lebih merupakan suatu kultur atau budaya. Ia lebih kepada suatu cara hidup yang terbaik diajar oleh ALLAH SWT dan Rasul-Nya. Sebab itu Islam bukan hanya mengajar rutin spiritual sahaja tetapi juga cara menjalani kehidupan seharian.

Saya sendiri pernah ditanya rakan bukan Islam kenapa terlalu banyak peraturan dikenakan kepada orang Islam seolah-olah orang Islam tidak mempunyai ruang untuk budi bicara. Namun bagi saya aturan yang ada bukanlah terlalu ketat, sangat banyak yang boleh dilakukan oleh orang Islam dan terlalu sedikit tegahan yang dianjurkan. Malah dalam suruhan dan tegahan yang ada itu pula terdapat pelbagai hikmah yang manusia sendiri gagal memahaminya.

Islam mengatur kehidupan yang lebih sistematik dari segi pengurusan waktu, adab dan aktiviti seharian. Adalah tidak adil menilai Islam dari kaca mata agama lain ataupun menilai agama lain dari kaca mata Islam bagi tujuan menghina sesuatu agama itu.

Berbalik kepada isu penghinaan terhadap agama, saya menyeru semua pihak agar memberikan tumpuan membina negara, menghormati semua pihak tanpa mengira kaum dan agama, memasakkan nilai ketimuran yang penuh dengan sifat tolong menolong, hormat menghormati serta beradab.

Tiada untungnya menghina orang lain kerana ia hanya akan menambahkan nafsu amarah kita sendiri dan meningkatkan lagi kemarahan orang lain terhadap kita.

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).