X

Kindly register in order to view this article
!

Cabaran urus jenazah Covid-19 'back to back' pakai PPE

Pemakaian PPE untuk menguruskan jenazah antara cabaran terpaksa dilalui sukarelawan Tajhiz.
A
A

SEREMBAN - Terpaksa menguruskan jenazah 'back to back' (berturut-turut) pada satu masa antara cabaran yang terpaksa dilalui oleh sukarelawan pasukan pengurusan jenazah Covid-19 (Tajhiz) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Peningkatan jumlah kes kematian Covid-19 setiap hari sejak kebelakangan ini menyebabkan pasukan itu tidak menang tangan.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS dan Penolong Pengarah (Kanan), Ahmad Zaki Hamzah yang merupakan salah seorang sukarelawan Tajhiz berkata, sejak beberapa minggu ini jumlah jenazah paling banyak pernah diuruskan mereka dalam sehari ialah sebanyak 10 jenazah.

Dari kiri: Ahmad Zaki, Danial Farhan
Dari kiri: Ahmad Zaki, Danial Farhan

"Jika dulu keadaan kes tidak kritikal seperti sekarang. Biasanya selang seminggu atau sebulan baru ada kes.

"Tetapi sekarang setiap hari ada jenazah yang perlu diuruskan dan pernah pada jam 3 pagi (urus jenazah). Jadi pasukan kami terpaksa kerja lebih keras," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mereka perlu meletakkan diri untuk sentiasa bersedia daripada segi mental dan fizikal kerana berdepan risiko bagi tempoh panjang dengan kemungkinan dijangkiti virus yang boleh membawa maut itu.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana sepanjang pasukan itu memilih untuk memikul amanah melaksanakan tuntutan fardu kifayah itu, belum ada lagi dalam kalangan mereka dijangkiti Covid-19.

"Apa kami harapkan adalah doa masyarakat supaya kami terus kuat dan diberi kesihatan yang baik.

"Terima kasih juga kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan negeri kerana telah meletakkan kami sebagai kumpulan barisan hadapan untuk menerima suntikan vaksin awal," katanya.

Cabaran pakai PPE urus jenazah

Seperti mana cerita biasa didengar daripada petugas barisan hadapan yang terpaksa bermandi peluh di sebalik pakaian alat perlindungan peribadi (PPE), begitu jugalah perlu dihadapi oleh sukarelawan ini.

Kata Ahmad Zaki, cabarannya sedikit berbeza kerana mereka bertugas di tanah perkuburan.

Sukarelawan Tajhiz menguruskan jenazah Covid-19.
Sukarelawan Tajhiz menguruskan jenazah Covid-19.

"Ia bukan lakonan. Tapi keadaan memakai PPE dan pelitup muka sambil uruskan jenazah itu sangat mencabar.

"Orang lain mungkin boleh berkata itu biasa, tapi bila dah pakai baru mereka tahu dan jika tak biasa boleh jadi panik dan sesak nafas kerana kita dalam keadaan 'terkurung'," katanya.

Tiga orang urus jenazah Covid-19

Sementara itu, Penolong Pegawai Jheains, Danial Farhan Dolmat yang ditugaskan di Jabatan Forensik berkata, cabaran dihadapinya sedikit berbeza dengan sukarelawan di tanah perkuburan.

Katanya, jika di tanah perkuburan sukarelawan ditugaskan lebih lima orang tetapi di Jabatan Forensik hanya tiga orang.

"Dari proses tayamum, mengkafankan, solat jenazah sehinggalah mengangkat jenazah masuk ke dalam van hanya kami tiga orang yang uruskan.

"Agak mencabar bila jenazah bersaiz agak besar, namun kami akan berusaha uruskan sebaik mungkin," katanya.

Menurutnya, ada ketikanya mereka tertidur dengan mengenakan pakaian alat perlindungan peribadi (PPE) disebabkan van jenazah lewat sampai.

Ujarnya, mereka hanya boleh membuka PPE apabila semuanya selesai kerana ia melibatkan proses sanitasi.

Sukarelawan Tajhiz menguruskan jenazah Covid-19 di Lenggeng, Seremban.
Sukarelawan Tajhiz menguruskan jenazah Covid-19 di Lenggeng, Seremban.

"Kami tawarkan diri untuk jadi sukarela kerana tahu ia merupakan tuntutan fardu kifayah.

"Saya juga berterima kasih kepada keluarga kerana memahami dan saya akan sentiasa ambil langkah pencegahan sebelum pulang ke rumah," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, sejak tahun lalu, sebanyak 139 jenazah pesakit Covid-19 di Negeri Sembilan diuruskan oleh pasukan Tajhiz.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!