Bursa Malaysia ditutup rendah hari kedua berturut-turut

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup rendah untuk hari kedua berturut-turut hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang berterusan dalam persekitaran prestasi negatif di rantau ini, kata peniaga.

Pada 5 petang, FBM KLCI merosot 3.07 mata atau 0.21 peratus kepada 1,403.03 daripada 1,406.10 pada Isnin.

Indeks utama dibuka tinggi 1.44 mata kepada 1,407.54 dan bergerak antara 1,399.47 dan 1,407.90 sepanjang hari.

Suasana pasaran kekal negatif berikutan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 475 berbanding 420 manakala 405 kaunter tidak berubah, 986 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.4 bilion unit bernilai RM2.00 bilion daripada 3.6 bilion unit bernilai RM2.18 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, indeks utama diniagakan rendah di peringkat serantau berikutan kebimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi yang lembap di China mempengaruhi kebanyakan pasaran Asia.

"Bagi bursa tempatan, kami menjangka wujud belian saham pada harga rendah berdasarkan penilaian menarik untuk indeks petunjuk pasaran dan saham tempatan lain,” katanya.

Beliau berkata, ekonomi tempatan yang bertambah baik turut memainkan peranan utama dalam prestasi pasaran saham, yang mendapat sokongan kukuh daripada dana institusi tempatan dan kembalinya dana asing kebelakangan ini.

"Bagaimanapun, pelabur akan terus berhati-hati berikutan risiko pasaran yang meningkat dan turun naik di peringkat global,” katanya.

Pak Leng menjangka FBM KLCI akan diniagakan tinggi dalam julat 1,400-1,420 pada sepanjang minggu ini, dengan paras halangan segera pada 1,415 dan paras sokongan pada 1,380.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan Tenaga Nasional, masing-masing merosot tiga sen kepada RM8.82, RM3.96 dan RM9.10, CIMB berkurangan tujuh sen kepada RM5.22 manakala IHH Healthcare naik empat sen kepada RM5.84.

Daripada saham aktif, UEM Sunrise, Classita dan Advance Synergy, masing-masing menambah setengah sen kepada 39 sen, 23 sen dan 17 sen, Malaysian Resources naik satu sen kepada 35 sen dan Widad tidak berubah pada 42 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 16.81 mata kepada 10,398.24 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 16.56 mata kepada 10,078.64.

Indeks FBM Emas Shariah jatuh 7.55 mata kepada 10,694.01, Indeks FBM 70 naik 0.31 mata kepada 13,899.02 dan Indeks FBM ACE meningkat 30.92 mata kepada 5,365.56.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 83.84 mata kepada 15,669.76, Indeks Tenaga berkurangan 4.93 mata kepada 807.56 manakala Indeks Perladangan meningkat 42.82 mata kepada 6,921.64 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.53 mata kepada 162.09.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 2.42 bilion unit bernilai RM1.72 bilion daripada 2.50 bilion unit bernilai RM1.82 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran naik kepada 350.21 juta unit bernilai RM52.13 juta daripada 122.25 juta unit bernilai RM13.82 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 629.53 juta saham bernilai RM220.07 juta daripada 952.32 juta saham bernilai RM342.03 juta semalam.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 625.06 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (483.43 juta); pembinaan (159.70 juta); teknologi (249.87 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (95.48 juta); hartanah (507.61 juta); perladangan (44.85 juta); REIT (5.79 juta), dana tertutup (63,000); tenaga (99.72 juta); penjagaan kesihatan (68.30 juta); telekomunikasi dan media (30.81 juta); pengangkutan dan logistik (21.16 juta) dan utiliti (30.29 juta). - Bernama