Ringgit terus naik berbanding dolar AS empat hari berturut-turut

Ringgit meneruskan kenaikan kukuh bagi hari keempat berturut-turut berbanding dolar AS untuk ditutup tinggi pada Jumaat. - Gambar hiasan
Ringgit meneruskan kenaikan kukuh bagi hari keempat berturut-turut berbanding dolar AS untuk ditutup tinggi pada Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT meneruskan kenaikan kukuh bagi hari keempat berturut-turut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup tinggi pada Jumaat memandangkan kenaikan itu bersifat tertangguh, dengan pertimbangan bahawa ringgit telah berada pada kedudukan terlebih jual untuk beberapa ketika, kata seorang pakar ekonomi.

Pada 6 petang, mata wang tempatan melonjak 545 peratusan mata (pip) kepada 4.5255/5280 berbanding dolar AS daripada 4.5800/5845 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, berdasarkan Kadar Pertukaran Efektif Nominal (NEER), ringgit masih terkurang nilai, menunjukkan kenaikan ringgit adalah berkemungkinan.

"Kadar semasa dolar AS/ringgit telah melepasi paras sokongan RM4.5491, dan buat masa ini, paras sokongan seterusnya terletak pada RM4.4872,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama pada penutupan dagangan hari ini.

Unit domestik tinggi berbanding euro kepada 5.0799/0827 daripada 5.1168/1218 ketika ditutup pada khamis dan juga meningkat berbanding pound British kepada 5.9338/9371 daripada 5.9861/9919.

Ringgit naik berbanding yen Jepun kepada 3.2659/2679 daripada 3.3069/3103.

Mata wang tempatan itu juga didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang negara Asean lain.

Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0689/0814 daripada 13.2481/2673 ketika penutupan semalam serta tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.4263/4287 daripada 3.4553/4590.

Unit domestik meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 302.5/302.8 daripada 305.9/306.4 serta naik berbanding peso Filipina kepada 8.31/8.33 daripada 8.40/8.41. - Bernama