Durian 'lockdown' buat netizen gelisah

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

BERITA pemilik dusun durian di Pulau Pinang yang bakal rugi puluhan ribu ringgit kerana tidak dapat memasarkan hasil kebun jika sekatan rentas daerah berlarutan, telah mendapat reaksi panas daripada netizen.

Seperti dijangka, netizen tidaklah bersimpati sangat dengan si pengusaha, sebaliknya berbalah tentang harga durian yang terlalu mahal di negara ini.

Iyalah, harga sebiji musang king hampir sama dengan bil elektrik sebulan.

Merak Jalanan tidak salah peniaga semata-mata. Dalam sistem pasaran terbuka, harga ditentukan oleh penawaran dan permintaan.

Sejak PKP tahun lalu lagi, harga durian mencanak naik ekoran permintaan tinggi. Dari satu segi, orang Malaysia nampaknya masih mampu berbelanja.

Percaya atau tidak, walaupun mahal seorang penjual durian tepi jalan di Kedah memberitahu sebanyak satu tan durian habis dijual setiap hari tahun lalu.

Harga durian yang melambung sering menjadi bahan jenaka dan sindiran.

Pernah dahulu ada netizen memberi amaran supaya orang ramai tidak keluar membeli durian selagi tidak menjelaskan bil TNB.

Artikel Berkaitan:

Ironinya, buah durian yang mahal mampu beli, bil elektrik yang murah tak mahu bayar.

Malah, ada seorang mak cik yang sedang bersiaran di televisyen merayu kepada perdana menteri supaya membantu menurunkan harga durian.

Namun, dalam pada marahkan penjual, ada juga netizen yang mencadangkan pekebun durian di Pulau Pinang tadi supaya lebih kreatif dengan menyejuk beku ulas durian sebelum dihantar ke Lembah Klang yang mempunyai permintaan tinggi.

Dalam situasi sekarang, perniagaan dalam talian juga adalah penyelesaiannya.

Tidak salah untuk belajar teknologi dan pengetahuan baharu seperti teknologi pembekuan dan pembungkusan.

Merak Jalanan berharap pada musim durian kali ini peniaga tidak rugi dan orang ramai dapat menikmati raja buah itu pada harga berpatutan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!