Gila random parcel, barang tak perlu pun dibelinya

Pembelian spontan ketika menonton live boleh membuatkan seseorang hilang pertimbangan. - Foto hiasan
Pembelian spontan ketika menonton live boleh membuatkan seseorang hilang pertimbangan. - Foto hiasan
A
A
A

SEJAK kebelakangan ini Merak Jalanan perasan ada satu fenomena baharu yang semakin mendapat perhatian di media sosial iaitu jual beli random parcel.

Secara ringkasnya, ia jualan semula bungkusan barangan daripada pembelian dalam talian yang gagal dihantar, dipulangkan atau tidak dituntut atas pelbagai sebab seperti alamat salah, penerima tiada di rumah atau pesanan dibatalkan.

Penjual akan membuka bungkusan satu demi satu secara langsung menerusi siaran live, sementara pembeli pula menunggu penuh debaran untuk mengetahui barang yang bakal menjadi milik mereka.

Cuma Merak Jalanan perhatikan, pembelian spontan ketika menonton live boleh membuatkan seseorang hilang pertimbangan. Ada yang sanggup membeli kerana harga dijual dikatakan jackpot atau jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

Dengan hanya beberapa ringgit, boleh mendapat barangan bernilai puluhan malah ratusan ringgit.

Tapi di sebalik tawaran harga murah itu, mungkin wujud pembaziran yang tidak disedari. Barang yang dibeli belum tentu diperlukan, malah ada yang akhirnya tidak tahu hendak buat apa dengan barangan tersebut.

Asalkan murah, beli dahulu. Soal perlu atau tidak, fikir kemudian. Sekali membeli, terasa mahu lagi. Lama-kelamaan rumah semakin penuh dengan barang, sedangkan poket semakin kosong.

Tidak salah membeli, namun dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, Merak Jalanan nasihatkan berpada-padalah. Jangan terpedaya dengan 'penjimatan' kerana barang murah belum tentu menjimatkan jika akhirnya tersimpan tanpa digunakan.

Bukan apa, takut nanti rumah sendiri pula menjadi gudang parcel yang menunggu masa untuk dibuang.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!