Lebih 100 sukarelawan MyVac akan ditambah

Lebih 100 sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) dijangka ditambah di lapan lagi pusat pemberian vaksin (PPV) di Melaka yang akan dibuka pada 16 Jun ini. - Gambar fail Bernama
Lebih 100 sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) dijangka ditambah di lapan lagi pusat pemberian vaksin (PPV) di Melaka yang akan dibuka pada 16 Jun ini. - Gambar fail Bernama
A
A
A

MELAKA - Lebih 100 sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) dijangka ditambah di lapan lagi pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini yang akan dibuka pada 16 Jun ini.

Exco Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, setakat ini seramai 1,437 individu telah mendaftar untuk menjadi sukarelawan MyVac bagi membantu melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Bagaimanapun daripada jumlah itu katanya, hanya 209 sukarelawan yang telah lengkap pengisian permohonan manakala seramai 119 sukarelawan telah dipilih bertugas mengikut kriteria yang ditetapkan dengan ditempatkan di enam PPV sedia ada.

"Apabila lebih banyak pusat vaksin dibuka, sudah pasti lebih ramai lagi sukarelawan akan diserap untuk bertugas di PPV bagi melancarkan program vaksinasi kerana setiap PPV menempatkan sekurang-kurangnya 12 sukarelawan MyVac.

"Justeru, kita amat menggalakkan para belia yang masih tiada pekerjaan ketika ini untuk mendaftar dan menyertai MyVac," katanya kepada pemberita selepas melawat PPV di Dewan Tun Ali, Bukit Katil di sini hari ini.

Sementara itu, seorang sukarelawan MyVac di PPV Bukit Katil, Muhammad Ansar Muhamad Baktiar, 18, berkata, dia yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memanfaatkan cuti untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Menurut Muhammad Ansar walaupun berdepan pelbagai kerenah masyarakat terutama golongan warga emas, namun ia dilihat satu pengalaman berharga selain menambah ilmu pengetahuan.

"Antara cabarannya ialah berdepan dengan situasi bakal penerima vaksin yang telah beratur menunggu tetapi berpatah balik kerana tidak percaya dengan usaha (vaksinasi) ini.

Artikel Berkaitan:

"Tugas kami di sini bukan sahaja untuk melancarkan proses vaksinasi tetapi perlu menambah ilmu pengetahuan berhubung vaksin Covid-19 bagi memberi keyakinan kepada orang ramai," katanya.

Seorang penuntut universiti, Muhamad Solehin Mohd Shati, 22, pula mengakui teruja apabila terpilih menjadi sukarelawan MyVac di PPV Bukit Katil hampir dua bulan lepas.

Bagaimanapun, Muhamad Solehin tidak menafikan kesedaran orang ramai dalam program vaksinasi Covid-19 semakin tinggi namun tidak kurang juga kumpulan yang masih sangsi dengan keberkesanan vaksin ekoran percaya dengan pelbagai maklumat palsu.

"Ada golongan yang mudah percaya dengan maklumat daripada aplikasi seperti WhatsApp dan Facebook, tetapi tugas kami di sini di samping membantu barisan hadapan, kita juga perlu meyakinkan masyarakat tentang kepentingan vaksin ini," katanya. -Bernama