X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksin bergerak guna treler dapat sambutan

Jururawa melakukan suntikan vaksin kepada penerima vaksin di trak Klinik Pergigian Bergerak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dataran Arena Amanjaya Lawin hari ini. Foto Bernama
A
A

LENGGONG - Program Jangkauan Komuniti (Outreach) Imunisasi Covid-19 yang pertama di Perak menggunakan treler di Dataran Aman Jaya, Pekan Lawin di sini, selama dua hari bermula Sabtu, mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Tinjauan Bernama mendapati, proses pemberian vaksin kepada penerima fasa kedua di kawasan luar bandar menggunakan treler Klinik Pergigian Bergerak Taiping itu berjalan lancar, dan inisiatif berkenaan dilihat amat membantu penduduk sekitar Lawin, mendapatkan akses maklumat serta khidmat pendaftaran dan pemberian vaksin.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perak (Pergigian) Dr Nama Bibi Saerah Abd Karim berkata, seramai 311 individu daripada golongan sasaran berjaya diberikan suntikan vaksin sejak pagi semalam, terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya dan golongan mempunyai masalah kesihatan.

"Ini pertama kali kita berikan vaksin menggunakan treler, dan senarai nama penerima ini kita dapatkan dari klinik desa, klinik kesihatan dan penghulu, malah kakitangan kesihatan sudah kenal dengan penduduk di sini,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Beliau berkata, treler itu akan digunakan bagi meneruskan program ‘Outreach’ di Felda Lawin Selatan pada hari esok, sebelum ke Felda Lawin Utara pada Selasa ini, dan diharapkan lebih ramai akan tampil untuk menerima vaksin, supaya imunisasi kelompok dapat dicapai seterusnya membendung penularan Covid-19.

Menurutnya, sebuah lagi treler Klinik Pergigian Bergerak Hilir Perak serta sebuah bas di daerah Kinta, turut akan digerakkan bagi program berkenaan di kawasan-kawasan luar bandar di negeri ini, dalam masa terdekat.

“Pemberian vaksin menggunakan treler ini lebih selesa, kerana berhawa dingin dan prosesnya berjalan sangat cepat,” katanya.

Sementara itu, seorang warga emas Abdul Malik Zupi, 62, berkata beliau gembira kerana berjaya mendapatkan suntikan dos pertama menerusi program itu hari ini, yang disifatkan amat membantu penduduk Felda Papulut yang terletak jauh dari bandar.

Peneroka Felda itu yang hadir seorang diri, kelihatan tidak mengalami kesakitan sebaik selesai menerima suntikan dan berharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan, kerana memudahkan penduduk mendapatkan vaksin.

“Saya memang sudah lama menunggu untuk mendapatkan vaksin Covid-19, jadi saya nasihatkan masyarakat supaya jangan dengar kata orang yang antivaksin, kerana vaksin ini bagus untuk keselamatan diri,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!